14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Kapal bantuan Palestin dipaksa berundur, berlabuh di pelabuhan Mesir
KAPAL kargo The Spirit of Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin bersama 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia dipintas dan ditembak kapal peronda Israel di zon selamat Palestin, sebelum dipaksa berundur ke perairan Mesir, 1.5 batu nautika dari perairan Gaza jam 6.54 pagi waktu Jordan, semalam.
Bagaimanapun, semua yang berada atas kapal itu, termasuk empat aktivis anti-perang dan tiga wakil media selamat. Kapal yang dinaiki masing-masing dua warga Ireland dan India serta seorang warga Kanada itu membawa paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membaik pulih dan membina semula sistem pembetungan dan bekalan air di Gaza, diiringi kapal peronda tentera Mesir ke pelabuhan terdekat 30 batu nautika dari kawasan itu.
KREW kapal The Spirit Of Rachel Corrie bersiap sedia memulakan perjalanan dari Greek menuju ke Palestin untuk menghantar bantuan kemanusiaan
Sebelum itu, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) itu diarah menurunkan sauh di perairan Mesir sambil dikawal dan dipantau kapal peronda tentera laut Israel dan Mesir.
Jurucakap PGPF di Jordan, Tan Sri Samsudin Hitam memaklumkan mengenai insiden yang kini berada di Kaherah untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bagi melaporkan perkembangan misi kemanusiaan tajaan yayasan itu.
“Kapal kargo itu memasuki zon keselamatan Palestin sebelum dipintas dan ditembak serta dipaksa berundur ke perairan Mesir,” katanya.
Wartawan akhbar yang berada atas kapal itu berkata, dua kapal peronda Israel melepaskan empat tembakan amaran sebelum mengarahkan kapal berundur ke perairan Mesir.
“Tentera rejim itu juga menaiki kapal bagi memeriksa kargo yang dibawa bagi memastikan ia bukan bahan larangan,” katanya.
Kapal kargo itu berlepas dari pelabuhan Piraeus, Greece, Rabu lalu, membawa paip PVC seberat 30 tan yang akan diagihkan kepada penduduk Palestin untuk membaiki sistem pembetungan dan bekalan air yang musnah teruk akibat serangan Israel pada Disember 2008.
Ia adalah kesinambungan daripada pelayaran kapal kargo MV Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan pelbagai keperluan seberat 1,500 tan ke Gaza pada Mei tahun lalu sebelum ditahan tentera Israel dengan 19 krew dan penumpang dibawa ke Pelabuhan Ashdod. MV Rachel Corrie antara tujuh buah kapal yang menyertai misi flotilla kebebasan diketuai kapal penumpang MV Mavi Marmara dari Turki bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Flotila kebebasan yang membabitkan lebih 700 penumpang dan aktivis pelbagai latar belakang agama dan bangsa dari seluruh dunia itu gagal sampai ke destinasi, namun kematian sembilan aktivis Turki yang ditembak mati komando Israel dan meninggalkan puluhan lain cedera, mengembalikan tumpuan masyarakat dunia kepada krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza.
INFO
THE SPIRIT OF RACHEL CORRIE
Nama asal: MV Finch
Jenis: Kapal kargo (reka bentuk tongkang)
Ukuran saiz : 54.9 meter panjang, 9.4 meter lebar dengan kedalaman 4.75 meter
Tahun: 1989
Buatan: United Kingdom
Kelajuan: 8.5 knot
Muatan kargo: 1,200 tan
Flagship: Moldova
Pelabuhan kapal didaftarkan: Giurgiulesti
Muatan: Paip PVC sepanjang 7.5km seberat 30 tan
MV Rachel Corrie mengambil sempena nama aktivis keamanan dari Amerika Syarikat, Rachel Corrie, 23, yang meninggal dunia digilis jentolak Caterpillar D9 tentera Israel ketika cuba menghalang rejim Zionis memusnahkan rumah penduduk Palestin pada 2003. Rachel Corrie meninggal dunia selepas digilis dua kali oleh jentolak seberat 48,988 kilogram itu.
1 ulasan:
Israel dari dulu degil dan kejam..
Catat Ulasan