04 Mei 2011

Lynas: Kerajaan digesa bersikap rasional, tegas

30 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, Mohd Syahid Mohd Zaini menggesa kerajaan Malaysia bersikap lebih tegas dan mengambil tindakan yang lebih rasional terhadap projek pembinaan sebuah loji nuklear di Pahang.

“Bolehkah anda bayangkan penderitaan apabila cahaya mata yang dinanti-nantikan oleh keluarga, dilahirkan terencat akal dan cacat anggota?” soalnya.

Beliau turut menyatakan kerajaan perlu memikirkan jangka masa panjang sekiranya projek itu tetap akan dilaksanakan.

“Kerajaan wajib mempertimbangkanpro dan kontra projek kontroversi itu.

“Dan tidak perlu tergesa-gesa dalam menerima pelaburan yang membawa risiko besar kepada rakyat dan alam sekitar,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Mohd Syahid turut menyeru agar seluruh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan mahasiswa seluruhnya menyokong gerakan membantah ‘Projek Lynas’.

“Saya dengar sisa radioaktif yang akan dihasilkan nanti 10 kali lebih tinggi daripada kilang nadir bumi Asia di Bukit Merah, Perak yang ditutup 20 tahun lalu.

“Jadi, sisa radioaktif yang terhasil itu akan membawa nahas alam sekitar dan kesihatan kerana tahap radioaktif yang terhasil akan memberi kesan lebih buruk.

“Mahasiswa harus bersama-sama membantah projek ini kerana ianya akan meninggalkan kesan lebih buruk untuk generasi akan datang kelak,” tegasnya lagi.

Projek memproses nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng, Pahang oleh firma Australia, Lynas akan menghasilkan 20,000 tan sisa radioaktif setahun apabila beroperasi kelak.

Syarikat itu dipercayai telah melabur sekitar RM700 juta untuk membina loji Lynas Advanced Materials Plant (Lamp), dan dijangka projek itu akan disiapkan pada bulan September.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: