27 Jun 2011

200 Muslimat jayakan dasar Kerajaan Negeri tingkatkan Islam

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Sejajar dasar Kerajaan Negeri iaitu Membangun Bersama Islam, pelbagai program ke arah menjayakan hasrat itu diadakan, termasuk Program Pemantapan dan Kepentingan Solat.

Program sempena Bulan Solat yang diisytiharkan Kerajaan Negeri hampir 20 tahun lalu yang diadakan pada Rejab ini.

Pegawai Halaqat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Zawiyah Mohamed berkata, program tahunan itu bertujuan meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran semua pihak terhadap matlamat manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Menurutnya, pada program tersebut, peserta daripada semua golongan di negeri ini diberi pendedahan secara teori dan praktikal agar dapat melaksanakan ibadah solat masing-masing dengan sempurna.

“Program ini juga bagi memperkasakan ibadah solat di kalangan individu dan masyarakat agar ia menjadi penghalang kepada perbuatan keji dan mungkar seterusnya membasmi gejala sosial secara umum untuk menjamin keamanan dan keselamatan dunia akhirat,” katanya mengulas tujuan diadakan program Pemantapan dan Kepentingan Solat DUN Kijang di Masjid Mukim Semut Api, Pantai Cahaya Bulan di sini semalam.

Zawiyah berkata, selain itu, program yang bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang itu juga berfungsi bagi memantapkan kefahaman dan penghayatan terhadap tuntutan tauhid, takbir serta ibadah dalam kehidupan seperti mana yang terdapat dalam perbuatan dan bacaan solat.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan itu juga, Zawiyah berkata, seramai 200 Muslimat di DUN berkenaan terlibat dalam program yang mengupas persoalan mengenai syarat dan rukun solat serta perkara yang membatalkannya, kepentingan solat bagi orang sakit, dan bacaan dalam solat serta terjemahannya.

Menurutnya, program seperti ini ke arah melahirkan generasi mementingkan solat seterusnya sentiasa menjaga amalan Rukun Islam itu, walaupun dalam keadaan sakit.

sianarharian/-

Tiada ulasan: