27 Jun 2011

Usul tergempar bincang MP Sg Siput direman

25 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 27 Jun: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, Khamis ini bagi membincangkan mengenai tindakan polis menahan ahli Parlimen Sungai Siput, aDr. Jeyakumar Devaraj dan 30 ahli PSM yang lain.
Mereka yang ditahan di Tol Sungai Dua, Pulau Pinang ditahan reman selama seminggu untuk disoal siasat kerana didakwa mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).
Kesemua mereka menaiki bas dari Selatan menuju ke Utara bagi meneruskan kempen Udahlah...Bersaralah, satu kempen nasional PSM.
Dr. Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) akan mengemukakan usul tersebut bagi menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan perkara 18(1).
"Kita ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdiri di belakang rakan kita ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.
"Dr Jeyakumar bukan calang-calang, beliau mengalahkan Samy Vellu dan beliau memperjuangkan hak rakyat bukan sahaja di Sungai Siput tapi si seluruh negara.
"Kita tidak mahu ahli Parlimen kita ditahan hanya kerana memperjuangkan hak rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berharap usul itu akan diterima untuk dibahaskan kerana ia melibatkan hak seorang ahli Parlimen dan kepentingan rakyat.
"Kita bawa usul ini untuk menuntut Dr. Jeyakumar dan anggota PSM yang lain dibebaskan segera kerana ini membabitkan kepentingan rakyat terbanyak," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tiada ulasan: