30 Jun 2011

Khalid Samad sertai misi baru ke Gaza

28 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 30 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus mendakwa misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) dicemari dengan agenda politik Umno BN.
Oleh sebab itulah tegasnya, beliau menarik diri daripada menyertai misi tersebut dan menyertai misi baru yang mempunyai tujuan sama iaitu memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.
Beliau memberitahu bahawa beliau telah menunggu di Arab Saudi pada 20 Jun yang lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai misi tersebut namun tidak dimaklumkan sebarang perkembangan.
"Saya dapat tahu ada banyak campur tangan politik dalam LL4G.
"Saya berada di Saudi Arabia sejak 20 Jun, yang mana Saudi Arabia tak sampai 1,000 kilometer pun dari Gaza tapi tak dapat sebarang maklumat pun daripada pihak penganjur.
"Jadi saya rasa mereka tak serius itu sebablah saya tarik diri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau membangkitkan kembali isu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang tidak dibenarkan berucap dalam program pelancaran LL4G 18 Jun lalu.
Beliau mempersoalkan sikap ketua misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin yang menafikan mendapat tekanan daripada pejabat Perdana Menteri sedangkan pada awalnya mengakui perkara tersebut.
"Timbalan Presiden PAS tak dibenar berucap pada pelancaran LL4G 18 Jun. Penganjur Dr Nor Azman telefon bagitahu atas sebab tekanan dari JPM.
"Tapi lepas Mat Sabu buat sidang media, Nor Azman nafi pula ada tekanan. Saya tanya kenapa perlu menipu, dia beri pandangan negatif kepada Timbalan Presiden PAS.
"Dia kata kenyataan itu tak betul, dia ditanya waktu memandu, jadi soalan tak jelas. Nak buat keluar kenyataan baru, malangnya kenyataan menyokong (JPM)," katanya.
Beliau turut mendakwa Umno tidak serius dalam isu Palestin sebaliknya hanya untuk berlagak hero.
"Ini menunjukkan mereka tidak serius, saja nak tunjuk bela Palestin tetapi sehingga hari ini mereka  tak iktiraf Hamas," katanya.
Dengan nada seloroh, Khalid berkata Umno BN seperti sudah terkena 'sumpahan' apabila segala program yang disertai parti itu akan tercemar dengan agenda politik mereka.
"Umno ni kena sumpahan, macam sejarah King Midas dulu pegang semua benda akan jadi emas, tapi Umno pegang apa sahaja jadi kotor, termasuklah pilihan raya, dan program LL4G ini," katanya.
Misi baru sebelum Ramadhan
Bagaimanapun kata Khalid, beliau tetap akan menyertai satu misi baru dengan tujuan sama yang akan disertai NGO Cakna Palestin, Muslim Care dan Mawaddah.
"Kita akan buat misi baru.Masuk pintu Rafah, dan akan masuk sebelum Ramadhan.
"Kita dah hantar surat ke Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di Mesir," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata PAS konsisten dalam membawa isu kemanusiaan dan sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti sekali pun.
"PAS konsisten, dulu Presiden Ustaz  Fadzil Nor duduk bersama Tun Mahathir dalam forum di dewan bahasa (dan pustaka) bincang isu Palestin.
"Tapi Umno sekarang, duduk sepentas dengan PAS pun tak mahu," katanya yang juga ahli Parlimen Tumpat.

Tiada ulasan: