30 Jun 2011

9 Julai 'Hari Gotong Royong Negara'

28 Rejab 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM, 30 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengisytiharkan Himpunan Bersih pada 9 Julai depan sebagai Hari Gotong Royong Perdana Peringkat Negara.
Sebelum itu, beliau menggambarkan suasana hanyir dan meloyakan dengan segala macam sampah sosial berselerakan di seluruh pelosok negara menerusi sebuah sajak khas untuk Bersih.
Antara bait sajaknya berbunyi: 'Rasuah berselerak di laman politik negara' yang menggambarkan keadaan politik yang penuh dengan kucar kacir ditambah suasana pilihan raya yang tidak adil dan bersih.
Beliau menyeru semua golongan masyarakat agar hadir dalam himpunan 9 Julai depan untuk sama-sama bergotong royong membersihkan negara dari segala kekotoran memualkan selama ini.
Ustaz Nasrudin berbuat demikian mengakhiri pidatonya di Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.
Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; wakil Suaram, K Arumugam, Ketua Muslimat Selangor, Ustaz Wan Hasrina Hassan.
Berucap sama adalah Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Peguam Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan.
Dalam ucapannya juga, Nasrudin menyatakan memang tunjuk perasaan atau demontrasi mesti dilakukan secara beramai-ramai dan tidak boleh dilakukan seorang diri.
“Pergilah buat demontrasi seorang diri di mana-mana tepi jalan atau pun taman bunga dan menjeritlah kuat-kuat, bukan FRU yang datang tapi ambulans kerana dikatakan orang itu sudah tidak betul,” selorohnya.
Ustaz Nasrudin juga sempat membetulkan kefahaman rakyat tentang erti sebuah hadis.
Menurutnya, selama ini orang ramai menterjemahkan hadis berkenaan dengan erti yang salah menyebabkan tiada apa-apa berlaku meskipun sudah lama membaca hadis tersebut.
Katanya, perkataan 'mengubah' dalam Hadis bila kamu melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangan, lidah dan hati itu perlu dibetulkan kepada perkataan 'menukar'.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar jangan bimbang kerana Pemuda PAS Malaysia menyediakan semua keperluan seperti 300 peguam dan paramedik terdiri daripada pengamal perubatan yang akan memberikan rawatan awal jika berlaku apa-apa melibatkan kecederaan.
Sementara itu, Zamri juga memberi jaminan 300 peguam akan berkhidmat pada hari itu.
"Mereka bukan sahaja datang untuk memberikan khidmat nasihat perundangan kepada peserta Himpunan Bersih malah mereka juga akan berarak sama pada 9 Julai depan," tegasnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah Nizar dan Mat Sabu peneraju utama