28 Rejab 1432H. [MOD] -
JADIKAH Pemuda UMNO mengadakan tunjuk perasaan anti Bersih serentak dengan tunjuk perasaan Bersih pada 9 Julai nanti?
Pemuda UMNO telah membuat keputusan sebulat suara bagi menganjurkan tunjuk perasaannya di tengah polis, kerajaan dan penyokong UMNO dalam berbagai rupa menentang perarakan raksasa Bersih itu.
Sekali pun bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga menteri dalam negeri, Dato Hishammuddin Hussein memberi amaran kepada Pemuda UMNO sama keras dengan yang diberi kepada penganjur Bersih 2.0, tetapi Khairy Jamaluddin, pengganti Dato Hisham memberi alasan tiada sebab ia tidak boleh meneruskannya.
Sekali pun Pemuda UMNO tidak suka dengan objektif tunjuk perasaan Bersih itu, tetapi ia memberikan alasan perlembagaan dan tidak menimbulkan masalah keselamatan betapa unjuk rasanya itu boleh dan mesti diadakan.
Setakat ini Pemuda UMNO tidak ada mengatakan rapat Bersih nanti bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.
Ertinya jika polis sedia memberi kerjasama, menjalankan kerja yang sewajarnya polis lakukan, maka tiada sebab program Bersih itu tidak boleh diadakan.
Dan Pemuda UMNO pula bukan seorang berdua yang hendak turun. Ia kononnya bersedia mengerahkan 100,000 orang penyokongnya turun atau sama ramai dengan sasaran Bersih.
Pemuda UMNO itu adalah UMNO. Apa jua motifnya, yang jelas ia melahirkan kenyataan bahawa tunjuk perasaan secara aman oleh siapa saja atas tujuan apa saja dibolehkan.
Setakat ini Perdana Menteri Najib seperti sembunyi tangan atas rancangan Pemuda UMNO mengadakan tunjuk perasaan serentak dengan Bersih.
Persoalannya hanya satu. Mengapa Pemuda UMNO hendak mengadakan tunjuk perasaan reaksinya itu serentak dan di lokasi yang sama dengan Bersih iaitu di Kuala Lumpur?
Ia boleh mengadakannya bila-bila masa dengan seramai-ramai yang ia dapat kumpulkan tetapi tidak di hari yang sama.
Pemuda UMNO ada hak dan berhak untuk tidak bersetuju dengan motif dan objektif Bersih dan pembangkang. Maka ia boleh mengadakannya di hari lain sebelum atau selepasnya.
Kerana yang menjadi alasan besar rapat itu dilarang ialah kesesakan dan natijahnya. Jika Pemuda UMNO memilih masa lain, maka tidak soal sesak itu menjadi bertambah sesak.
Justeru itu reaksi Pemuda UMNO dipercaya satu sandiwara setelah mendapat isyarat dari lain-lain pihak seperti pemimpin tertinggi UMNO sendiri, seperti unit perang saraf kerajaan serta nasihat intelijen beerbagai pihak termasuk SB.
Tidak mustahil ia satu nasihat dari UPCO, syarikat pro Israel yang menjadi penasihat Perdana Menteri dan kerajaan. Dalam hal-hal seperti ini masakan Perdana Menteri tidak memanfaatkan nasihatnya.
Ada pun suara menteri dalam negeri dan polis yang menyatakan jangan kepada Pemuda UMNO tidak lebih dari episod sandiwara itu sekadar hendak menunjukkan konon dia tidak setuju perkara itu walau dari pihak mana sekali pun.
Tetapi ia adalah satu tindakan saikologi bagi menghalang rancangan Bersih itu sesudah tiada cara ia dapat dihalang.
Apa pun sandiwara Pemuda UMNO itu adalah tindakan sabotaj bagi menggagalkan rancangan tunjuk perasaan aman Bersih itu. Apabila terdapat dua anasir yang saling berbeza matlamat dalam satu kejadian, maka sukar dijamin tiada apa-apa kejadian nagatif. Itulah kira-kira nasihat yang diisyaratkan kepada Pemuda UMNO itu.
Sebagai gurka UMNO dan gurka kerajaan, apa lagi gunanya Pemuda UMNO kalau tidak mengertakan kerja sabotaj dan peranan khianat terhadap rancangan bersih Bersih itu.
Penyertaan Pemuda UMNO dan diikut sama oleh seteru ketat Pemuda UMNO iaitu Perkasa pimpinan Ibrahim Ali menambah kuat alasan polis untuk menghalang projek Bersih 2.0 itu.
Polis tidak ada alasan rasional untuk menyekat demonstrasi aman Bersih.Tindakan polis selama ini tentang perhimpunan seperti itu adalah mencerminkan cara bekerja polis dan kerajaan benua Afrika dan benua Arab, tidak masuk kelas bertaraf dunia.
Jika polis bertindak macam itu juga ia adalah tanda lambat lagi Malaysia hendak mencapai bangsa berfikiran maju bertaraf dunia. Najib mahu jadi pemimpin kepada pemimpin-pmimpin Afrika seperti yang ditunjukkan dalam pertemuan global antarabangsa Langkawi di Putrajaya baru-baru ini.
Malulah Malaysia dan polisnya jika tidak tolerans dengan tunjukan perasaan aman. Maka dengan menyuruh gurka Pemuda UMNO melakukan kerja khianat itu, polis ada ruang bagi menghalangnya. Itulah geliganya sandiwara Khairy sebagai gurka UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan