02 Jun 2011

Haji Subky dipilih sebagai Tokoh Pemuda

1 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 2 Jun: Penulis terkenal, Haji Subky Latif dianugerahkan sebagai Tokoh Pemuda memandangkan sumbangan besarnya kepada PAS khususnya dewan pemuda.

Ketika peralihan bentuk kepimpinan PAS pada 1987 yang digagaskan oleh dewan pemuda dalam muktamar di Pulau Pinang, Subky adalah Setiausahanya.

Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat dalam tempoh lama sejak 1995 lagi.

Sehingga kini, beliau masih lagi menulis artikel menarik dan diminati ramai di dalam akhbar rasmi PAS, Harakah sejak mula ditubuhkan pada 1980.

Upacara ini adalah sebahagian dari majlis gilang gemilang yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat sini dihadiri hampir 700 perwakilan pemuda dari seluruh negara.

Perasmian muktamar ini turut disaksikan oleh rakyat Malaysia di seluruh dunia di mana sahaja mereka berada yang boleh diikuti melalui capaian internet.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran yang disampaikan oleh anak lelaki Speaker Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, 12, yang merupakan johan di peringkat Asean.

Turut hadir dua Naib Presiden PAS, Haji Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Muslimat Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, AJK-AJK PAS Pusat termasuk Pesuruhjaya PAS negeri.

Dua tayangan multimedia menarik perhatian seluruh hadirin dengan memaparkan kembali program pemuda sepanjang tahun terutamanya demontrasi jalanan Bersih dan PPSMI.

Menariknya bila terpapar Ustaz Nasrudin yang berbadan besar menaiki motosikal yang disifatkan paling kecil dalam dunia; sehingga semua hadirin tergelak seketika.

Dalam majlis ini juga, ramai tokoh-tokoh yang menjadi idola orang muda diberikan anugerah khas kerana kesanggupan mereka bersama dengan pemuda dan menyemarakkan kegiatan bersama.

Antara mereka adalah Dr Abdul Bassit Abdul Rahman (Akademik), Ustaz Azhar Idrus (Ustaz), Radhi Mat Din (bolasepak), Bob Lokman (Selebriti), Yaasin Said (permotoran) dan Datuk Misbun Sidek (badminton, tidak dapat hadir).

Hari ini (2 Jun) akan berlangsung sesi membahaskan ucapan dasar ketua pemuda oleh perwakilan dari seluruh negara dan tamat pada jam 7 petang.

Sementara itu pagi ini juga, Dewan Muslimat PAS Pusat pula akan mengadakan Muktamar Tahunan ke-51 di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, bermula jam 8 pagi.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di masa sama, Dewan Ulamak PAS Pusat akan mengadakan muktamarnya di Taman Melewar.

Setelah itu, Muktamar PAS Pusat kali ke-57 akan bermula pada 3 Jun dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan selesai pada 5 Jun dengan ucapan penggulungan, juga oleh presiden.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Tiada ulasan: