1 Rejab 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 2 JUN : Jaringan keselamatan sosial harus diberi keutamaan sebelum kerajaan bertindak menarik subsidi bersabit keperluan asas termasuk makanan menurut Pengarah Komunikasi FOMCA, Yusuf Abdul Rahman.
Ini kerana fokus harus diberikan kepada melindungi golongan berpendapatan sederhana dan rendah termasuk pelajar agar tidak terbeban dengan kos sara hidup yang melambung tinggi secara mendadak.
Bercakap dalam satu wawancana khas bersama Tv Selangor, Yusuf menjelaskan perancangan kerajaan untuk memberikan rebat tunai kepada masyarakat berpendapatan rendah masih belum dilaksanakan.
Namun pemerintah sebaliknya mengumumkan penarikan subsidi terlebih dahulu, satu langkah yang dilihat oleh Fomca sebagai "kurang rasional."
"Kita amat berharap sekiranya kerajaan (mahu) melakukan penyelarasan subsidi itu, maka dari segi sistem jaringan keselamatan sosial harus dilaksanakan terlebih dahulu.
"Kalau kita lihat ramai golongan miskin dan ibu tunggal yang masih mengalami kesukaran bersabit kenaikan harga barang, tetapi kita tidak nampak perancangan yang dilakukan kerajaan bagi membantu mereka," jelas beliau.
Isnin lalu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus bagi penggunaan lebih daripada 300 kWj.
Putrajaya memberi alasan penarikan subsidi itu bertujuan merasionalisasikan subsidi bagi tujuan mengurangkan defisit negara.
Namun kerajaan Najib itu dikecam kerana terus mengekalkan subsidi Penjana Kuasa Bebas (IPP) sebaliknya menarik subsidi untuk rakyat.
Yusuf turut menegur langkah memotong subsidi dibuat sebelum soal prasarana lengkap umpamanya sistem pengangkutan ditangani.
Sistem pengangkutan awam yang berkesan akan membolehkan orang ramai mengurangkan perbelanjaan harian apabila tidak lagi bergantung kepada kenderaan sendiri untuk urusan harian.
Yusuf juga memberi contoh rata-rata rakyat negara di Hong Kong dan Singapura tidak merasai beban kenaikan petrol memandangkan prasarana kemudahan awam yang lengkap meliputi sebahagian besar bandar di negara itu.
Justeru katanya, kesan langsung memperlihatkan peratusan pendapatan lebih guna rakyat meningkat sekaligus dapat mengimbangi kos sara hidup yang semakin meninggi.
"Malah (di Hong Kong) kalau mereka tidak berkemampuan ada laluan bawah tanah yang menghubungkan ke bahagian bandar dalam keadaan selesa.
Itu sebenar prasarana yang perlu dilakukan kerajaan bagi memastikan bahawa keadaan yang berlaku diperingkat global tidak memberi kesan (kepada rakyat)," kata beliau lagi.
Tv Selangor/-
1 ulasan:
salam tuan....najib mana ler nak fikir kesusahan rakyat...IPP tuh kan kroni...kroni masyuk..ada lah bahgian mereka..huhuh..biasa ler tuh...
Catat Ulasan