1 Rejab 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM : Jun - Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa malam ini menegaskan bahawa parti itu sama sekali tidak akan berganjak daripada prinsip asalnya berteraskan al-Quran dan hadis walaupun menjadi sekutu kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Katanya, penegasan itu sudah termaktub amat jelas dalam perlembagaannya bahawa dasar perjuangan Pas adalah Islam.
''Inilah manhaj dan main essence yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW yang kemudiannya diikuti para sahabat, direntasi dengan gigih oleh para mujahid dakwah dalam era negara bangsa moden masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat, di sini.
Nasharudin yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-57 Jumaat ini, turut menyeru ahli-ahli Pas menolak sebarang amalan politik berlandaskan matlamat menghalalkan cara yang cuba diserapkan ke dalam parti berkenaan.
''Pas sebagai sebuah parti politik Islam akan terus memainkan peranan utamanya meletakkan al-Quran, sunah, ijmak dan qiyas sebagai sumber sahih rujukan dan dasar perjuangannya dengan berteraskan kepada akidah ahli sunnah wal jamaah.
''Amalan syura yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah SWT.
''Gabungan tenaga di antara barisan pimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan Jundullah yang dinanti-nantikan," katanya.
Oleh itu tegas beliau, sebarang usaha yang dilakukan di luar kaedah-kaedah tersebut harus ditolak dan tidak dapat diterima sebagai amal-amal Islam.
''Ini kerana bagi kita yang mendukung Islam, 'tujuan tidak menghalalkan cara' politik ala-Machiavelli adalah haram dan tidak dapat diterima langsung. Kita mesti berani, bijak dalam berjuang kerana kebenaran dan kita menolak apa-apa yang batil dan mungkar walaupun daripada anggota dan jemaah kita sendiri," katanya.
Beliau berkata, ahli-ahli Pas juga mesti berani melakukan transformasi diri, tidak kira di peringkat mana pun mereka berada.
Dalam ucapan yang bertajuk 'Memantapkan Dan Mengemudi Jemaah Ke Arah Kejayaan', Nasharudin yang turut memaparkan hasrat pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang menegaskan, ahli-ahli Pas perlu bersedia mengubah minda rakyat jelata.
''Kita mesti bersedia mengubah minda rakyat untuk benar-benar memahami misi kita dan apakah bentuk landskap politik yang akan kita bina jika kita berjaya menguasai Parlimen," katanya.
Oleh itu tegas beliau, Pas perlu mencari kaedah terbijak untuk melakukan transformasi kepada rakyat yang bakal mengubah kerajaan sedia ada dengan menyebelahi pakatan pembangkang.
Utusan Malaysia/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan