1 Rejab 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM - Kepimpinan ulama harus diteruskan dalam Pas bagi memastikan parti itu terus memperjuangkan Islam yang syumul,” kata Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.
Katanya, ahli parti yang memahami tonggak perjuangan Pas seharusnya mengetahui presiden memerlukan golongan ulama sebagai timbalannya untuk mengukuhkan lagi kesepaduan parti.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada perwakilan untuk buat keputusan dan memilih kerana sesiapa sahaja yang menang tiada masalah bagi kepimpinan sebab mereka juga ahli Pas.
“Tapi kalau perwakilan faham, tradisi kepimpinan ulama itu harus diteruskan. Ikut amalan sesiapa pun boleh, tapi amalan biasa adalah kepimpinan ulama biarpun dalam perlembagaan parti tiada syarat begitu.
“Parti tidak mahu sejarah berulang apabila tugas presiden tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh Yusof Rawa yang menggantikan Tan Sri Mohd Asri Muda,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Haron berkata, mana-mana pemimpin akan dipilih untuk jawatan nombor dua parti itu harus patuh kepada perlembagaan parti selain memperjuangkan dasar-dasar yang ditetapkan.
“Bagi saya tidak kisah siapa yang akan menang, tapi saya harap mereka yang menang nanti tahu dasar parti, pertahankan dasar itu dan seterusnya memperjuangkan dasar parti ini kerana parti mahukan seorang pemimpin yang boleh buat kerja,” katanya.
Pemimpin veteran Pas, Subky Abdul Latif berkata, jawatan nombor dua parti harus diberi kepada pemimpin berlatar belakangkan kelulusan agama atau ulama.
“Kalau timbalan tiada kelebihan ini dan ditakdirkan presiden tiada macam mana? Pemangku presiden mesti mahir al-Quran dan hadis sebab bila ada soal yang membabitkan hukum Islam dia boleh jawab,” katanya.
Namun jelas bekas Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan ini, secara konvensional dasar kepimpinan ulama yang menjadi tradisi parti itu harus diteruskan.
Bagaimanapun, Subky berkata, untuk jawatan naib presiden mana-mana golongan baik ulama atau profesional dibolehkan.
“Sebab itu dalam Pas ini presiden, timbalan presiden dan naib presiden sangat penting sebab rakyat melihat apa yang berlaku dalam parti. Kalau seorang itu ustaz dia mesti ustaz yang berwibawa dan kalau dia seorang pemimpin dia mesti boleh diterima semua lapisan masyarakat,” katanya.
Katanya, sesiapa yang menang untuk jawatan timbalan presiden mestilah orang yang boleh menggantikan presiden jika berlaku kekosongan.
“Penggantinya mesti hebat atau lebih hebat daripada presiden sebelum ini dan dalam Pas ada calon-calon yang yang layak, tapi mereka tidak ke depan,” katanya.
Pemilihan Muktamar Pas ke-57 ini memperlihatkan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan nombor dua parti, iaitu antara penyandangnya, Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Pas, Mohamad Sabu.
Pada pemilihan kali ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden yang disandang sejak 2002 tanpa tanding.
Bagi jawatan naib presiden, selain dua penyandang Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, empat pemimpin lain yang turut bertanding adalah Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Husam Musa dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ketua Penerangan Idris Ahmad dan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan