01 Jun 2011

Sudah sampai masanya BN ditumbangkan

29 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 1 Jun: Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh anak muda di negara ini bangkit dalam pilihan raya umum akan datang untuk menumbangkan BN.

Bercakap menyampaikan ucapan dasar malam ini, ketuanya Nasrudin Hassan berkata, BN sudah tidak boleh lagi dibiarkan merosakkan negara ini.

"Slogan “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” hanyalah merupakan frasa indah untuk menutup kegagalan mereka.

"Hakikatnya kualiti hidup rakyat Malaysia semakin merosot dan lebih menyedihkan lagi Generasi Milenium ini terus dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

"Sekiranya semua situasi ini boleh saya simpulkan kepada satu ayat ringkas, maka saya menegaskan “Sudah sampai masanya BN ditumbangkan," katanya.

Mengemukakan beberapa sebab kenapa BN wajib ditumbangkan, beliau berkata BN telah terbukti gagal mengurus ekonomi negara dengan baik sehingga rakyat dimangsakan untuk menambah wang negara.

Ianya terbukti apabila beberapa pengumuman baru dibuat kerajaan termasuk menaikkan harga barang keperluan seperti petrol, gula dan terbaru tarif elektrik.

Akibat kegagalan pengurusan ekonomi itu juga, kerajaan semakin terdesak sehingga mengugut rakyat membayar saman ekor.

"Usaha kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara menemui jalan buntu, sehingga kerajaan terpaksa “memecah tabung rakyat” bagi menampung perbelanjaan defisit yang terus berlanjutan.

"Sebaliknya apa yang jelas, usaha kerajaan mempelbagaikan sumber pendapatan negara ialah dengan memotong subsidi, mengenakan cukai baru dan memburu pesalah trafik",tambahnya lagi.

Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-52 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dirasmikan malam ini oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Muktamar penuh akan berlangsung esok termasuk pengundian untuk perwakilan memilih barisan kepimpinan dewan itu untuk sesi 2011-2013.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: