29 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
BEBERAPA potongan timun dan tomato dilihat dalam satu rakaman ilustrasi di Berlin, kelmarin, ketika kes keracunan E.coli semakin serius di Eropah.
1,200 kes dilaporkan dalam tempoh 10 hari disebabkan kuman dalam timun, tomato
BERLIN: Seramai 15 orang terbunuh, 300 lagi dalam keadaan tenat kerana keracunan disebabkan bakteria berbahaya dalam timun menyebabkan kerajaan Jerman mengadakan rundingan mengenai krisis itu yang terus merebak di beberapa negara Eropah sejak dikesan dua minggu lalu.
Kematian ke-15 berlaku di Sweden.
Kes keracunan makanan kali pertama dilaporkan di utara Jerman dan bilangan mangsa disyaki mencecah 1,200 orang, lapor media.
Tiada pengesahan rasmi angka itu, namun Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah berpusat di Stockholm, Sweden, menggambarkan E.coli sebagai ‘antara yang terbesar di seluruh dunia dan paling teruk melanda Jerman.’
Pihak berkuasa Jerman juga memberi amaran supaya tidak memakan sayur mentah selepas kesan bakteria itu ditemui pada timun organik dari Sepanyol minggu lalu. Namun, belum ada pihak yang dapat mengesan puncanya.
Enterohaemorrhagic E.coli (EHEC) boleh mengakibatkan sindrom uremik hemolitik penuh (HUS), sejenis penyakit yang menyebabkan cirit birit berdarah dan kerosakan teruk hati sekali gus mengakibatkan kematian.
“Biasanya kita hanya terima 1,000 kes setahun, namun pada masa ini kita mempunyai 1,200 kes dalam tempoh hanya 10 hari.
“Kami tahu ketika ini jenis EHEC amat berbahaya dan berketahanan tinggi sekali gus menyebabkan jangkitan kes HUS meningkat,” kata Pengarah Klinik Luedenscheid di barat Jerman, Jan Galle kepada televisyen umum ZDF.
Institut Robert Koch (RKI), agensi penyelidikan penyakit nasional Jerman, memberi amaran kepada rakyat negara itu supaya tidak memakan sayuran mentah seperti timun, tomato dan salad, terutama bagi penduduk di utara yang menjadi tempat keracunan bermula.
Ia sudah mengesahkan 329 kes HUS di seluruh negara dan tiga kematian disahkan. Namun, pihak berkuasa serantau melaporkan kematian dikaitkan dengan HUS, meletakkan angka kematian kepada 11 orang selepas seorang wanita 91 tahun maut Ahad lalu.
E.coli adalah nama kuman atau bakteria yang tinggal dalam saluran pencernaan manusia dan haiwan. Seseorang boleh mendapat jangkitan E.coli jika terdedah dengan najis manusia atau haiwan.
Ia berjangkit jika seseorang minum air atau makanan yang dicemari najis. Seseorang juga boleh menemui ajal kerananya.
Institut Hygiene di Universiti Klinik Muenster di barat Jerman mengumumkan sudah mencipta kaedah untuk mengesan mangsa jangkitan E.coli.
Beberapa negara Eropah termasuk Belgium dan Russia mengharamkan sayur import dari Sepanyol manakala Menteri Pertanian Sepanyol, Rosa Aguilar menafikan negaranya sumber jangkitan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan