29 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR – Mayat bayi perempuan baru dilahirkan ditemui terapung di dalam Sungai Gombak berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) dekat Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, orang awam yang melihat kejadian itu memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, mayat bayi itu sudah dipotong tali pusatnya dan dilihat terapung dihanyutkan aliran sungai sebelum tersangkut di celah-celah batu di situ.
“Kita percaya bayi itu dibuang di tempat lain tidak lebih dari tempoh 24 jam sebelum ditemui.
“Mayat bayi yang masih elok itu ditemui dalam keadaan tidak dibaluti sebarang kain,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pihaknya sedang mengesan suspek yang membuang bayi itu dan meminta bantuan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian 03-20702222 bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran itu.
Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan