12 Julai 2011

Empat penculik kena penjara sehingga 13 tahun

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Empat lelaki masing-masing dihukum penjara antara enam hingga 13 tahun setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan pilihan menculik dua beranak pada 2008.

Tertuduh, Ng Ng Kim Low, 38; Tan Kok Peng, 53; Lim Cheng Yong, 40 dan Ching Siong Huat, 44, mengaku bersalah sejurus Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan, memutuskan meminda pertuduhan terhadap mereka daripada Akta Culik 1961 kepada Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama,

mereka didakwa menculik kanak-kanak, Yong Wei Jie, 9, di depan rumah 28, Jalan Bulat, Taman Abiad, di sini, dengan niat mendapatkan wang tebusan RM2.03 juta kira-kira jam 11.40 pagi pada 6 Oktober 2008. Di lokasi dan masa sama, semua tertuduh turut didakwa menculik ibu kanak-kanak itu, Lee Yoke Chan, 45.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Namun, berdasarkan pindaan diputuskan mahkamah, tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan itu mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dua mangsa terbabit dengan niat menyembunyi dan mengurung mangsa, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.

Bagi pertuduhan pilihan ketiga, Kim Low dan Kok Peng didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan niat menerima wang tebusan berjumlah RM2.03 juta di tepi pagar Kilometer 130, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan jam 12.30 tengah hari pada 7 Oktober 2008.

Berikutan pengakuan bersalah setiap tertuduh itu, masing-masing dihukum penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga, Kim Low dan Kok Peng, masing-masing dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan.

BERITA HARIAN/-

Tiada ulasan: