9 Syaaban 1432H. [MOD] -
ANTARA mayat penumpang kapal persiaran Russia yang karam di Sungai Volga ditemui semalam.
80 hilang, harapan selamat tipis
MOSCOW: Mayat 41 penumpang kapal persiaran Russia yang karam di Sungai Volga ditemui semalam, manakala 80 yang lain masih hilang apabila kapal dua tingkat berusia lebih 50 tahun itu tenggelam ke dasar sungai.
Anggota pasukan penyelam bertungkus lumus mencari mangsa dalam bangkai kapal itu yang karam berhampiran Kazan Ahad lalu ketika ribut.
Kapal dua tingkat itu karam tiga kilometer dari tebing paling dekat di empangan besar Kuibyshev di Sungai Volga, kira-kira 750 kilometer timur Moscow dan pada kedalaman 20 meter, kata kementerian kecemasan Tatarstan.
Lebih 80 mangsa berjaya diselamatkan, kebanyakannya ditemui bot yang melalui kawasan itu selepas lebih sejam berada dalam air, kata jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan, Irina Andrianova, tetapi harapan untuk melihat mangsa selebihnya selamat amat tipis.
“Menurut penyelam, peluang mencari mangsa yang masih bernyawa sangat tipis,” katanya.
Seramai 60 penumpang adalah kanak-kanak, lapor media Russia dan mangsa yang selamat memberitahu kira-kira 30 kanak-kanak berada di sebuah bilik permainan berdekatan buritan kapal beberapa minit sebelum ia karam.
Andrianova berkata 208 berada di dalam kapal tetapi kementerian wilayah cawangan Tatarsan kemudian berkata ada sejumlah penumpang yang tidak berdaftar.
Pegawai rasmi berkata kapal itu tidak sepatutnya membawa lebih 120 orang.
Pegawai kanan kecemasan daerah Volga, Igor Panshin, berkata mayat turut kelihatan di restoran kapal berusia 56 tahun itu.
Beliau berkata penumpang yang selamat memberitahu kapal itu karam dalam tempoh lapan minit.
Kapal yang dikenali sebagai Bulgaria, diperbuat pada penghujung 1950-an di Czechoslovakia dan dimiliki syarikat pelancongan tempatan. Ia dalam perjalanan ke ibu negeri wilayah itu, Kazan dan kemudian menuju ke pekan Bulgar.
Sungai Volga popular sebagai destinasi pelancongan terutama pada musim panas. Kebanyakan bandar besar Russia terletak dalam lembangan Sungai Volga.
Tangisan keluarga dan waris yang menunggu berita mengenai tragedi itu reda seketika setiap kali mangsa yang terselamat dibawa ke darat di pelabuhan di Kazan, ibu negeri Tatarstan, lewat kelmarin.
Seorang wanita memberitahu stesen televisyen milik negeri Rossiya-24 beliau terlepas pegangan tangan anak perempuannya ketika mereka berusaha untuk menyelamatkan diri.
“Tiada seorang kanak-kanak berjaya keluar.Terlalu ramai kanak-kanak dalam bot itu,” katanya.
Presiden Dmitry Medvedev mengarahkan siasatan dijalankan untuk menentukan punca insiden itu dan mencari siapa yang patut dipersalahkan. – Reuters/ AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan