13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Md Zainal MZD
Sebagai orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah, kita mesti sentiasa berbaik-sangka terhadap Allah dalam semua perkara.
Secara umumnya berbaik sangka terhadap Allah boleh dibahagikan kepada 6 perkara
1. Menjaga Aqidah: Semua kita mesti berusaha untuk mengekalkan Aqidah supaya tetap dalam Islam dan berusaha sebaik mungkin dalam beribadat semoga dengan itu akan mati dalam keadaan beriman kepada Allah Subhanahuwataala.
Sentiasa menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh menyebabkan jatuh syirik atau menyekutukan Allah, sentiasa percaya bahawa setiap sesuatu itu adalah dengan Qada’ dan Qadar Allah dan tidak dengan yang lain. Yang memiliki kuasa menyembuhkan penyakit adalah Allah. Kalau berhasil mendapatkan sesuatu harta, semuanya adalah dengan keizinan dan kurniaan Allah sedangkan kita hanya berusaha setakat yang kita mampu sahaja. Bagitulah juga jika mendapat pangkat janganlah mengatakan hanya atas usaha kita melainkan mesti bersandarkan kepada ketentuan Allah. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang dan pelaksana.
.
2. Menjaga Akhlak Dalam sebarang masa kita mesti menjaga akhlak kita supaya tidak bercanggah dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.
Dalam kehidupan sehari-hari sama ada secara bersendirian, berkeluarga, bersama jiran, atau sesama orang Islam yang lain, lebih-lebih lagi jika bersama dengan orang yang bukan Islam, apa yang kita lakukan dan tontonkan akan menunjukkan keindahan Islam. Kalau baik yang kita tunjukkan maka pandangan orang lain terhadap Islam akan baik tetapi jika buruk yang kita tampilkan, bukan saja diri kita dipandang rendah sebaliknya Agama Islam juga akan dipandang buruk dan diperlecehkan.
Pergaulan, tingkahlaku, percakapan serta cara berpakaian dan lain-lainnya mestilah sentiasa mengikut syariat Islam...
3. Tidak berputus asa dan sentiasa bersabar: Maksud tidak berputus asa di sini ialah sentiasa berusaha untuk maju kehadapan walaupun kadang-kadang kita menghadapi seribu satu macam halangan atau kesukaran.
Dalam kita berusaha kita kerapkali menghadapi kegagalan. Sekiranya gagal dalam sesuatu usaha janganlah cepat berputus asa. Allah telah berjanji bahawa sebarang usaha yang kita lakukan akan diberikan ganjaran dan ditunaikan Allah. Kejayaan dan hasilnya ada masa cepat ditunaikan, ada masa lambat ditunaikan dan ada masanya Allah akan gantikan dengan yang lebih baik dari apa yang kita harapkan. Kalau tidak berjaya didunia Allah akan berikan hasilnya di akhirat nanti. Belum dikira beriman sehingga kita tahan ujian Allah..
Jika kita menghadapi sebarang musibah atau tragedi buruk kita mestilah berbanyak-banyak sabar dan yakin bahawa semua itu adalah baik bagi kita sedangkan kita tidak mengetahuinya.
Allah Maha Mengetahui atas segala-galanya.
4. Yakin terhadap semua janji Allah: Berbaik sangka dengan Allah juga termasuk sentiasa yakin bahawa segala janji Allah itu adalah benar. Sebagai contohnya kita mesti yakin bahawa jika kita beribadat dan beriman kepadaNya, kita akan mendapat ganjaran dan balasan yang baik, dan jika tidak beriman maka bersedialah pula untuk menerima balasan azab siksa dari Allah yang mungkin diturunkan semasa kita hidup lagi di dunia ini, lebih-lebih lagi bila kita mati nanti.
Banyak contoh yang boleh kita ambil untuk pedoman;
a. Kerana ingkar kepada Allah, Fiiraun ditenggelamkan di dalam laut.
b. Kerana ingkar, pengikut Nabi Musa AS disesatkan oleh Allah di padang pasir untuk satu tempoh masa yang tertentu sehingga mereka kembali semula beriman.
c. Qarun ditelan bumi bersama hartanya bila dia kufur, sombong dan ingkar kepada rezeki dan anugerah Allah.
d. Sahabat Sahibul Kahfi dipelihara oleh Allah ( ditidurkan ) dalam gua sehingga lebih dari 300 tahun untuk dipertontonkan kuasa Allah kepada mereka sendiri dan rakyat negeri tersebut bagi menguatkan keimanan mereka tentang kuasaNya.
e. Pengikut Nabi Allah Lut diselamatkan sedangkan mereka yang kufur ditelan bumi bila bumi tempat mereka berada diterbalikkan Allah.
f. Nabi Allah Noh AS dan pengikutnya diselamatkan dari banjir besar dan diyakini tinggalan bahteraNya telah dijumpai di Turki.
g. Tentera Kufar Abrahah dihancurkan sewaktu mereka berusaha untuk merobohkan Ka’bah sedangkan penduduk Mekah tidak berupaya melawan mereka.
h. Untuk mengelakkan dari dibunuh, Nabi Musa AS dihanyutkan dalam sungai Nil tetapi baginda tetap dalam peliharaan Allah.
i. Nabi Allah Ibrahim AS diselamatkan Allah walaupun dicampakkan dalam api yang besar
j. Walaupun awalnya Nabi Yusof AS dianiaya, tetapi baginda akhirnya diselamatkan dan telah dilantik menjadi pembesar Mesir yang memerintah dengan adil..
Dalam hati setiap orang Islam jangan sekali-kali ada perasaan tidak yakin dengan janji Allah, kita boleh jadi kufur.
5. Sentiasa penuh berharap : Dalam mengerjakan sebarang kerja samaada ibadat khusus seperti solat, puasa, haji dan umrah atau mengeluarkan zakat ataupun dalam menuntut ilmu atau apa-apa ibadat sunat, kita mestilah sentiasa ada perasaan penuh pengharapan semuanya itu akan diterima oleh Allah.
Tidak boleh ada langsung walau sedikit pun perasaan ragu-ragu dalam hati kita sama ada ibadat kita diterima Allah atau tidak. Sebab itulah jika melakukan sesuatu kerja mestilah dilaksanakan dengan sungguh-sungguh sedaya upaya kita dan kemudiannya kita bertawakkal kepadaNya.
Sebagai contohnya bila kita berpuasa hendaklah dilakukan dengan penuh keimanan dan sentiasa berharap akan ganjaran Allah, kalau tidak maka akan sia-sialah puasa kita...
“ Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, akan diampunkan Allah dosanya yang telah lalu” Maksud Hadis.
6. Sentiasa mengingati mati Orang yang berbaik sangka dengan Allah juga mesti sentiasa mengingati mati. Apabila kita sentiasa mengingati mati kita akan sentiasa berbuat baik dan akan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang dilarang walau sekecil mana sekalipun, antaranya:
a. Tidak memakan riba
b. Bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab
c. Tidak menganiaya sesama manusia, haiwan atau pun tumbuhan dan lain-lain
d. Jika ada lebihan harta sentiasa menginfakkannya ke jalan Allah
e. Berbuat baik dan baik sangka sesama manusia terutama ibubapa dan jiran.
f. Sentiasa nasihat menasihati dan menjaga hubungan silaturrahim.
g. Menjaga dan melayani anak-anak yatim sewajarnya, jika ada.
h. Kalau berniaga, tidak akan melakukan penipuan atau sepertinya.
i. Tidak berlebih-lebihan atau membazir dalam berbelanja, dsb.
Sentiasa bertaubat dan mohon ampun dari Allah atas dosa dan kesalahan yang lalu. Sesungguhnya kita semua tidak sempurna dan sudah tentu telah banyak membuat kesalahan secara sedar atau tidak. Kita mesti sentiasa memohon dikekalkan di jalan yang lurus. Sentiasa berusaha untuk menambahkan kerja kebaikan tanpa mengira masa. Sentiasa sedar bahawa Allah berkuasa mengambil nyawa bila-bila masa tanpa sebarang notis, dekatnya antara hidup dan mati hanyalah sejarak dua jari kita sahaja..
Di samping itu, kita mestilah sentiasa bersyukur atas segala limpah kurnianNya. Sesungguhnya jika hendak menghitung rahmat dan kurniaan Allah nescaya tidaklah kita terdaya untuk melakukannya.
Justeru itu marilah kita sentiasa berdoa semoga hidup kita sentiasa dalam peliharaan Allah dan Insyaallah akan mati dalam iman dan akan diletakkan bersama orang-orang yang dikasihiNya, Amin
1 ulasan:
Salam,
Mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah swt. mentaati perntah Allah dan menjauhi laranganNya, juga berdoa mati dalam Islam.Iman dan husnul khotimah. Semuga Allah mempermudahkan jalanan hidup kita semua.
p/s mohon berkongsi ilmu dari DRS
~Fairlady.Shania~
Catat Ulasan