02 Ramadhan 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU, 2 Ogos: Al-Quran menjadi dokumen paling istimewa di dunia ini apabila kitab suci Islam ini ditadarus setiap tahun.
(Saudara Muhammad Ghana, mewakili komuniti antarabangsa menerima tugasan tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Kota Bharu)
“Tidak ada dokumen lain dilakukan seperti ini,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Jika dibanding dengan agama-agama lain kata beliau, tidak ada yang melakukan upacara tahunan dengan meminta semua pengikut membaca keseluruhan kandungannya dalam masa satu bulan.Buku-buku dan dokumen-dokumen lain yang dianggap bermutu tinggi dan mulia pun tidak diulangi bacaannya sebagaimana al-Quran ditadarus.
“Di sepanjang sejarah manusia menyanjung pelbagai dokumen seperti deklarasi hak asasi dan perlembagaan negara-negara.
“Tapi kita tak pernah dengar dokumen-dokumen ini dibaca semula secara menyeluruh seperti tadarus,” kata beliau di majlis perasmian Tadarus Perdana Anak Muda Tamu Ramadan di Qaryah Ramadan di sini Isnin..
Al-Quran lahirkan generasi pemimpin dunia
Sementara itu, membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran adalah teras kepada pembentukan generasi pertama Islam yang menjadikan mereka pemimpin dunia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
“Mereka bangkit dari satu tahap kehidupan yang amat rendah kepada satu pasukan yang memiliki keupayaan luarbiasa untuk mengurus dunia global apabila mereka hidup bersama al-Quran”, kata beliau yang juga Exco kerajaan Kelantan.
Kerana itu beliau menyeru anak-anak muda untuk mengambil kesempatan di sepanjang Ramadan untuk merapatkan “persahabatan” dengan al-Quran.
“Kitab agung ini (al-Quran) akan menjadikan martabat seseorang akan terus meningkat jika mendekatinya,” ujar beliau.
Jika sesiapa yang boleh membaca al-Quran dengan baik sahaja sudah dianggap begitu mulia, beliau menambah tentulah mereka yang memahami isinya, mengajar orang lain dan beramal dengan ajarannya akan bertambah-tambah tingkat keupayaan mereka.
Husam berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian program tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Isnin.
Tadarus anjuran kerajaan negeri itu dijangka akan disertai lebih 10 ribu peserta yang terdiri dari kalangan belia dan remaja.
Lokasi-lokasi program ini diadakan di seluruh negeri bertempat di masjid, pondok, sekolah kelolaan YIK, sekolah agama swasta dan beberapa agensi terpilih.
Kemuncak program ialah majlis khatam yang akan menghimpunkan semua peserta tadarus pada penghujung Ramadan.
“Pihak kerajaan yakin anak-anak muda Kelantan yang telah dididik untuk sentiasa bersama al-Quran tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menambahkan keupayaan masing-masing,” kata Husam.
Berserta program ini kata beliau pellbagai acara iringan akan diadakan bagi membolehkan para peserta dan orang ramai merasa al-Quran boleh didekati dengan pelbagai cara dan satu bahan yang boleh diguna dalam menghadapi pelbagai situasi.
Harakahdaily/-
Ulasan :
Ucapan Tuan Guru sentiasa mengetuk jiwa dengan bahasa yang mudah namun terkandung pengertian yang mendalam dan mudah difahami oleh semua pihak.
Semuga kelompok manusia yang terlalu gemar mengambil maklumat dari dokumen yang jauh perbezaan tentang kebenarannya akan melakukan tindakan yang positif dengan insaf dan kembali kepada Al Quran sebagai rujukan yang utama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan