02 Ogos 2011

Monopoli BN punca kos sara hidup tinggi

2 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 2 Ogos: Pakatan Rakyat yakin kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung oleh setiap rakyat negara ini pada hari ini adalah akibat dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional yang mewujudkan sistem monopoli dan ketinggalan zaman.

Sehubungan itu, terdapat keperluan mendesak agar sistem permit terutamanya yang bersabit import barang keperluan utama dikaji keseluruhannya kerana ia meningkatkan harga barangan yang menekan rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat juga berpendapat harga petrol dan diesel yang tinggi di Malaysia adalah akibat perancangan guna tenaga yang lemah.

Menurut beliau, Malaysia dilaporkan masih menggunakan sehingga 70 peratus dari minyak mentahnya yang bergred tinggi dan mahal untuk diproses menjadi petrol dan diesel bagi kegunaan domestik.

Katanya, oleh kerana harga minyak mentah adalah komponen kos yang paling utama, sebarang usaha untuk menukar minyak mentah kepada gred yang lebih murah akan secara langsung menurunkan harga petrol dan diesel di Malaysia.

"Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat yakin bahawa harga petrol dan diesel boleh diturunkan segera. Salah satu caranya melalui perancangan guna tenaga yang lebih munasabah," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), di sini, hari ini.

Sebelum itu di tempat yang sama, Pakatan Rakyat, menurutnya, telah mengadakan Rundingan Ekonomi Buku Jingga yang pertama hari ini dengan ahli ekonomi, penganalisa pasaran dari bank dan firma kewangan, pimpinan kesatuan sekerja dan persatuan pengguna.

Katanya, rundingan tersebut antara lain membincangkan secara terperinci langkah-langkah segera yang boleh dilakukan untuk mengawal inflasi dan membantu jutaan isi rumah Malaysia yang terbeban dengan kos sara hidup mutakhir ini.

"Rundingan tersebut adalah yang pertama daripada beberapa siri selepas ini bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan untuk digarap di dalam Belajawan 2011 yang akan diumumkan oleh Pakatan Rakyat dalam bulan Oktober ini.

"Setiap rundingan akan memfokuskan kepada persoalan dasar ekonomi negara yang utama, termasuklah dasar-dasar pertumbuhan dan persaingan ekonomi, menurunkan kos sara hidup rakyat dan reformasi sistem pendidikan supaya selari dengan keperluan modal insan negara," katanya.

Peluang yang diperolehi oleh pimpinan Pakatan Rakyat pada hari ini untuk bertukar-tukar fikiran dengan wakil-wakil dari pelbagai sektor penting ekonomi negara itu, katanya, akan dimanfaatkan sebaik mungkin, apabila pandangan-pandangan itu akan digarabkan di dalam Belanjawan 2011 oleh Pakatan Rakyat.

"Belanjawan 2011 oleh Pakatan Rakyat adalah satu lagi dokumen ekonomi yang memberi peluang kepada rakyat dan sektor niagawan menilai sendiri perbezaan pendekatan ekonomi yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat dan kerajaan BN, sekiranya Pakatan Rakyat yang berkuasa selepas pilihanraya umum akan datang," katanya.

Turut hadir pada rundingan dan sidang media itu termasuklah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad serta pemimpin DAP.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: