2 Ramadhan 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU, 2 Ogos: Kenyataan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, Kelantan belum bebas rasuah kerana tiada laporan dibuat dianggap seperti kebudak-budakan.
Kenyataan itu dibidas pelbagai pihak sambil menganggap cuba memperbodohkan masyarakat. Ia juga memperlihatkan pegawai kerajaan seperti mengikut rentak Umno.
Kenyataan pegawai terbabit kemudian cuba dimanipulasi media proUmno sehingga ada rancangan khas di TV1 pagi tadi mengulas isu berkenaan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, mungkin pada peringkat permulaan ada pihak cuba membuat gimik terhadap dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin PAS di Kelantan.
”Usaha tersebut tidak lebih bagi menarik perhatian orang ramai semata-mata. Mereka juga sengaja mahu mencari publisiti murahan.
”Apabila Pengarah SPRM Kelantan membuat penjelasan tiada rasuah dikaitkan dengan kerajaan negeri tiba-tiba ada pula orang lain yang cuba mempertikainya,” katanya di sini.
Semalam media melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sultan berkata, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz tidak boleh mendakwa kerajaannnya bersih dari rasuah kerana tiada laporan dibuat.
Sedangkan Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd Noor mengesahkan tiada unsur rasuah termasuk membabitkan isu Bazar Tok Guru.
Sebelum ini beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian dan peniaga Pasar Lama MPKB mendakwa wujud unsur penyelewengan dalam isu Bazar Tok Guru.
Kenyataan yang dikeluarkan Pengarah SPRM Kelantan itu kemudian dipertikaikan Pemuda Umno sehingga mendakwa ada pegawai SPRM berpihak kepada PAS.
Ahmad berkata, penjelasan dibuat pegawai SPRM terbabit menjelaskan dakwaan Umno kononnya pemimpin PAS terbabit dengan rasuah tidak berasas.
”Kita sentiasa memberi peringatan kepada pegawai dan pemimpin khususnya di bulan Ramadan ini terhadap perkara-perkara yang menyalahi tuntutan agama.
”Malah Menteri Besar berharap Kelantan berlainan berbanding negeri-negeri lain. Kalau dahulu orang datang ke sini sebagai laluan untuk pergi ke tempat maksiat, namun sekarang tidak berlaku lagi,” katanya.
Penolong Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kelantan, Wan Zulkefli Wan Mohamad berkata, tiada laporan dibuat terhadap dakwaan penyelewengan di Kelantan kerana tidak ada bukti.
Katanya, pemimpin Umno hanya sekadar menuduh bagi memburukkan Kelantan di media massa, sedangkan mereka tiada bukti menyokong segala tuduhan dibuat.
Oleh itu kata beliau kenyataan pegawai kanan SPRM di Putrajaya Kelantan belum bebas rasuah kerana tiada laporan dibuat menggambar pegawai kerajaan terpaksa mengikut rentak Umno.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan