PARIT BUNTAR - Seorang warga emas yang juga ibu saudara Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai ditemui mati akibat dicekik selepas disamun pekerjanya di sebuah rumah di Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini semalam.
Mayat mangsa, Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan, 73, ditemui di bilik tidurnya oleh adik mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan pada pukul 1.30 pagi.
Kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh kurang tiga hari membabitkan kes pecah rumah yang berakhir dengan kematian di Perak selepas pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, di Ipoh pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian dipercayai berlaku di antara pukul 12 malam dan 1 pagi apabila seorang lelaki yang juga pekerja sambilan mangsa menceroboh ke rumah berkenaan.
"Mangsa ketika kejadian tidur berseorangan di bilik tidur tingkat bawah rumah manakala suaminya tidur di sebuah pondok berdekatan kediaman terbabit.
"Suspek dipercayai menceroboh rumah mangsa menerusi pintu belakang rumah dan melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai RM7,000 milik mangsa," katanya di sini semalam.
Katanya, mayat mangsa ditemui adik perempuannya berusia 65 tahun pada pukul 1.30 pagi yang ketika itu tidur di tingkat atas selepas terdengar bunyi bising di bawah.
Adik mangsa kemudiannya membawa wanita terbabit ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang tetapi disahkan sudah meninggal dunia, ujarnya.
"Ekoran laporan polis, pada pukul 2.30 pagi, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pemotong babi sambilan di rumah mangsa kira-kira tujuh kilometer dari kediaman terbabit.
"Polis merampas sebilah pisau daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk mengumpil pintu rumah mangsa," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan