07 Ogos 2011

Peniaga ditemui mati dalam kejadian samun

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH: Seorang peniaga ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Taman Buntung Ria, Menglembu di sini awal, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa Looi Kim Loong, 67 ditemui mati pada jam 2.10 pagi oleh ahli keluarganya
yang kemudian melaporkan kepada polis. Beliau berkata, ketika kejadian isteri dan anaknya yang tidur di bilik lain yang tidak cedera, mendengar bunyi bising dan apabila mereka masuk ke bilik
mendapati mangsa sudah terbaring.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati pintu rumah tidak berkunci ketika kejadian berlaku, terdapat kesan kecederaan di bahagian leher mangsa dipercayai
ditikam dengan objek tajam dan mayat itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dzuraidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di nombor telefon 05-2451222 untuk
membantu siasatan.

Ia katanya, adalah kes bunuh ketiga di Perak dalam tempoh seminggu.

Semalam, seorang warga emas, Teoh Ah Nya@Teoh Kooi Lan, 73 ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Tanjung Piandang,
Parit Buntar.

Seorang lagi mangsa bunuh membabitkan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dipercayai dibunuh di
pangsapurinya di Tambun Khamis lalu. - BERNAMA

Tiada ulasan: