03 Ogos 2011

Kepala terlekat di pelepah sawit

3 Ramadhan 1432H. [MOD] -

NGERI...tengkorak seorang lelaki hampir reput yang terlekat pada pelepah kelapa sawit.

KULIM: “Saya mahu mengait kelapa sawit, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak kepala manusia yang sudah reput terlekat di pelepah kelapa sawit itu,” kata S Nandakumaran, 31, yang menemui mayat lelaki yang sudah reput dan anggotanya yang berselerak di Ladang Air Merah, berhampiran Taman Melur, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, pekerja ladang kelapa sawit itu baru hendak memulakan tugas mengait buah kelapa sawit di ladang itu.

Katanya, ketika tiba di situ, dia mula terhidu bau busuk yang meloyakan dan pada mulanya menyangka ia berpunca daripada bangkai binatang yang mati berhampiran kawasan berkenaan.

“Ketika saya berjalan ke arah pokok kelapa sawit untuk mengait buahnya, tiba-tiba saya terpandang satu objek bulat berwarna hitam terlekat pada pelepah kelapa sawit. Saya kemudian menghampiri objek berkenaan dan amat terkejut apabila mendapati objek itu adalah kepala manusia yang hampir reput,” katanya ketika ditemui di lokasi ke jadian, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan, dia terjumpa pula bahagian tubuh mayat berkenaan yang hanya tinggal kaki dan badan berhampiran pokok kelapa sawit itu, manakala kedua-dua tangannya ditemui beberapa meter dari situ.

Nandakumaran membuat laporan di Balai Polis Kulim.

“Saya bersama beberapa pekerja lain baru memulakan tugas mengait buah berkenaan hari ini (semalam) selepas kali terakhir melakukannya pada 13 Julai lalu. Waktu itu, tiada apa-apa berlaku di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemui pada mayat terbabit, mangsa dikenali sebagai A Benny Roy, 31, dan beralamat di Klang, Selangor.

“Keadaan mayat yang hampir reput dan hanya tinggal kaki, manakala kedua-dua belah tangannya dijumpai beberapa meter dari mayat itu kemungkinan dibawa lari binatang buas. Kepala mangsa pula tersangkut pada pelepah pokok kelapa sawit. Seutas tali turut berada pada kepala itu,” katanya.

Beliau berkata, mayat itu dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

my metro//-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ORANG INDON YANG BUNUH.. KAT LADANG KAMI PUN ADA PEGAWAI KENE TETAK PASAL KURANG GAJI