3 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Anggota parlimen Pakatan Rakyat hari ini menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar Parlimen untuk membincangkan isu pertukaran status penduduk tetap (PR) kepada warganegara dengan sekelip mata.
Anggota parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub (kanan) berkata mereka akan menghantar surat dalam masa terdekat kerana mendakwa perkara "khianat" itu "mengancam keselamatan dan kedaulatan negara".
"Kami beri masa seminggu kepada perdana menteri untuk menjawabnya," katanya dalam sidang akhbar anggota parlimen Pakatan di pejabat Pakatan di Petaling Jaya hari ini.
Menurut Salahuddin, sidang itu mestilah diadakan dalam bulan Ramadan ini juga.
Turut hadir Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), setiausaha biro antarabangsa DAP Liew Chin Tong (Bukit Bendera), Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS Dr Hatta Ramli (Kuala Krau), dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Dr Mariah Mahmud (Kota Raja).
Semalam, Malaysiakini melaporkan, status seorang penduduk tetap yang berjaya didaftar sebagai pengundi bertukar kepada warganegara dalam tempoh empat jam sahaja selepas didedahkan.
Laporan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, terutamanya oleh Pemuda PAS yang mendakwa memiliki banyak lagi bukti kes sebegitu berlaku.
Fokus Wilayah, Selangor, Johor
Ditanya tindakan lanjut Pakatan sekiranya desakan itu tidak diendahkan Najib, Salahuddin berkata: "Kami mempunyai beberapa siri tindakan. Tunggu saja."
"Kita akan dedahkan siapa taukenya nanti. Kita ada dokumen (bukti) yang cukup," katanya.
Salahuddin yang juga naib presiden PAS mendedahkan semakan mereka mendapati sehingga kini sejumlah 1,597 kes berhubung perkara itu dikesan di seluruh negara.
"Ia nampaknya terfokus di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor," dakwanya.
Dalam data yang diedarkannya, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,108 kes, diikuti Johor sebanyak 380 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 52 kes.
Salahuddin juga menunjukkan buku tebal kira-kira 2 inci mempunyai pelbagai maklumat berhubung kesalahan pilihan raya yang masih diselidiknya melalui satu pasukan khas PAS.
Mengulas prosedur permohonan warganegara, Salahuddin berkata, mengikut prosedur biasa, ia mengambil masa sehingga lebih 10 tahun.
"Tetapi ini berlaku sekelip masa atas konspirasi pemimpin Umno dan BN," katanya sambil mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipergunakan bagi tujuan itu.
Pendaftaran biometrik pekerja asing
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, kegagalan Najib mengambil tindakan akan menggambarkan bahawa beliau sebagai perdana menteri yang tidak berkuasa terhadap beberapa agensi kerajaan berkaitan.
"Sekarang tiada dolak dalih lagi. Najib wajib panggil sidang tergempar (di parlimen)," katanya Nurul Izzah (kiri) lagi.
Sementara Liew pula berkata perdana menteri harus memberikan respons dengan "segera dan serta-merta" terhadap kes itu dan tuntutan Pakatan bagi membuktikan komitmennya terhadap pilihan raya yang bersih dan adil.
"Jika tidak, tiada gunanya kita adakan pilihan raya dengan sistem ini," katanya.
Sementara itu, Dr Hatta pula mengesyaki apa yang berlaku mempunyai kaitan dengan program pemutihan pendatang asing yang sedang berlangsung di seluruh negara yang bermula sejak sebulan lalu.
"Mereka daftar pekerja asing dengan biometrik. Adakah ini mempunyai kaitan? Adakah ini sebabnya data bertukar dalam beberapa jam sahaja," katanya.
Sejak dilaksanakan 13 Julai lepas, dilaporkan 390,404 pekerja asing daripada 26,894 majikan telah mendaftar bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang Sah, manakala pendaftaran pekerja asing tidak sah pula bermula kelmarin.
MALAYSIAKINI/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan