17 September 2011

Mat Indera: Cetusan idea Mat Sabu satu inovasi

19 Syawal 1432H. [MOD] -



Mat Indera. Cetusan Idea Haji Mohamad Sabu Presiden Pas, satu Inovasi!, itulah pada pandangan saya. Ketika ini riuh rendah Kisah Mat Sabu dan Mat Indera diperkatakan. Ini mendatangkan keterujaan saya untuk mengetahuinya. Haji Mohamad Sabu saya tahu dia seorang Timbalan Presiden Pas masa kini yang mencetuskan kisah ini, tetapi siapa Mat Indera.
Cetusan idea Haji Mat Sabu membangkitkan reaksi daripada pelbagai pihak hingga kepada professor-professor. Mat Indera diceritakan menjadi orang penting dalam peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950. Saya mencari dari segenap sumber untuk mengetahui siapa Mat Indera. Macam-macam  versi saya temui. Tetapi apa yang menarik, saya temui ialah fakta tentang pengkisahan ini. Fakta pada tanggapan sendiri bukan fakta umum, nanti Prof. Ramlah Adam murka kerana fakta sejarah hanya sejarahwan yang berhak menyatakannya. Mana mungkin rakyat bawahan yang berpendidikan rendah memandai-mandai tentang fakta sejarah.
Saya tidak ingin mengulas atau mentafsir tentang kisah ini tetapi saya ingin mengaitkan kisah ini dengan situasi sekarang, kerana ia tidak memerlukan pengkajian yang mendalam. Saya bukanlah orang berpendidikan tinggi yang membolehkan mengkaji sejarah secara mendalam. Apa yang berlaku sekarang adalah lebih sesuai kerana tidak memerlukan fakta sejarah iaitu ada mata tengok, ada telinga dengar, ada otak fikir, ada mulut bercakap, ada hati nukilkan yang tersirat menjadi tersurat.  
Izinkan saya menyatakan fakta yang diperolehi dan menghubungkan dengan situasi sekarang. Fakta itu ialah Mat Indera mengetuai parti buruh dan kenapa parti buruh diminati.
Saya memperolehi fakta Mat Indera mengetuai parti buruh daripada ahkbar Sinar Harian 7 September 2011 muka surat 6 iaitu kenyataan daripada Baharom adik kepada Mat Indera, “Baharom memberitahu, ketika Mat Indera mengetuai Parti Buruh di Pelabuhan Muar, abangnya seorang yang disenangi pekerja buruh yang lain”. Fakta kenapa parti buruh diminati. Saya perolehi dari akhbar Mingguan Malaysia m2  Ahad 11 September 2011 muka surat 2, “Penyebaran ini mendapat tempat di kalangan kesatuan sekerja berikutan tindakan majikan yang tidak mesra pekerja”. Fakta inilah yang akan dihubungkan dengan situasi sekarang ini.
Penjawat awam Malaysia adalah buruh dan majikannya adalah kerajaan Malaysia. Buruh yang dimaksudkan ini bukan pegawai atasan kerana mereka adalah pembuat dasar bagi pihak kerajaan. Kumpulan sokongan adalah buruh kerana mereka sebagai perlaksana arahan. Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak adil kepada kakitangan perkhidmatan lama. Kakitangan lama yang sampai tempoh bersara rata-rata berkhidmat lebih tiga puluh tahun. Ini adalah kerana kakitangan sokongan dalam perkhidmatan lama ada yang telah dinafikan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi walaupun mempunyai ijazah dan bersara ditahap kumpulan sokongan. Ini amatlah tidak adil jika seseorang berada di tempat tersebut.
Diberikan contoh di sini. Seorang rakan yang mempunyai kelulusan ijazah tetapi pihak kerajaan Malaysia tidak pernah memberi peluang menjawat jawatan dengan kelulusan ijazah walaupun beliau berpengalaman lebih tiga puluh tahun sehinggalah bersara ditahap kumpulan sokongan dengan gred yang sama disandang sewaktu mula.
Beliau berusaha menuntut ilmu tanpa mendapat apa-apa kemudahan dari pihak kerajaan. Sejak dari ijazah asas membawa ke ijazah sarjana. Kemudian beliau diterima dan mendaftar pula untuk ijazah doktor falsafah. Memandangkan kesukaran yang akan ditempuhi apabila menjadi penuntut Phd beliau telah bersara sebelum tempoh umur persaraan yang ditandatangani iaitu 58.
Beliau bersara pada gred sokongan dengan pencen lebih kurang seribu dan graduiti lebih kurang tujuh puluh ribu untuk perkhidmatan selama 32 tahun. Wang graduitinya untuk membeli rumah kos rendah pun tak lepas. Kalau pun ada pemilik flat kos rendah seksyen 3 Petaling Jaya Lama yang ingin menjualnya harga tidak kurang 90 ribu. Dengan wang itulah dia berjimat untuk meneruskan hidup disamping membiayai pengajiannya.
Suka juga dinyatakan kakitangan yang mendapat segala kemudahan daripada kerajaan untuk melanjutkan pelajaran bukan semuanya dengan niat untuk menuntut ilmu melainkan mereka sekadar merebut peluang yang tersedia lebih-lebih lagi yang dapat pergi keluar negara disamping dapat lari seketika daripada tugasan kerja dan apabila kembali status akademik lebih tinggi. Mereka dari kumpulan ini sekiranya tidak mendapat segala keistimewaan tidak akan bersusah payah meneruskan pengajian.
Berbalik rakan yang disebutkan di atas, beliau dengan perbelanjaan sendiri bersusah payah dan di tempat kerja pula ditekan oleh pegawai yang lebih atas selalunya yang lebih muda. Di tempat kerja berhempas pulas menjalankan kerja, di masa tidak bekerja ketika itulah diisi dengan menunut ilmu. Malangnya dia bersara pada gred rendah yang disandangnya sejak mula bertugas 32 tahun lalu. Di mana keadilannya. Pencapaian apa yang kerajaan Malaysia utamakan. 
Saya ingin mengucapkan syabas kepada Tuan Haji Mohamad Sabu Timbalan Presiden Pas yang melahirkan inovasi dengan mencetuskan isu Mat Indera. Cetusan ideanya bukan sekadar kajian sejarah Malaysia tetapi menjangkau kelain cabang yang untuk difikirkan oleh selain orang sejarah tetapi juga terhadap keadilan kerajaan Malaysia sebagai majikan kepada buruhnya penjawat awam perkhidmatan lama.
Oleh yang demikian bukan semua rakyat Malaysia seperti Prof. Ramlah Adam, Prof. Zainal Kling dan lain-lain yang mesra kerajaan Malaysia. Mereka ini sudah tentu mesra kerajaan Malaysia dengan nama sentiasa dijulang dan kedudukan usah nak cakap. Tetapi buruh kerajaan yang disebutkan di atas adalah kategori yang tidak dapat menjadi mesra kerajaan Malaysia.         

Tiada ulasan: