17 September 2011

Gamis gesa kerajaan mansuh Auku

19 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 16 Sept: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menggesa kerajaan meneliti semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang saban tahun diperjuangkan oleh mahasiswa untuk memansuhkannya.
“Saya minta untuk kerajaan juga turut mengkaji dan memansuhkan akta Auku ini,” kata Ketua Penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari dalam satu kenyataan.
Katanya, Auku menjadi halangan kepada mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan pandangan secara bebas bertepatan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Ia, ujarnya menggariskan bahawa hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan adalah hak kepada mana-mana individu yang sah sebagai warganegara Malaysia.
Menurutnya, pembatasan hak-hak asasi warga institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Auku juga bersalahan dengan piawaian Hak Asasi Manusia PBB.
“Perkara ini merupakan suatu keaiban kepada Malaysia yang mendokong prinsip demokrasi.
“Sewajarnya sebagai negara demokrasi berperlembagaan, mahasiswa dan ahli akademik perlu turut sama diberi ruang untuk berkongsi rasa dan pandangan secara murni bersama-sama kerajaan dan pihak pentadbiran universiti bagi membentuk masyarakat dan negara yang adil serta sejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, katanya Gamis menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus kerajaan mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1960.
Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
 Selain itu, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.
 Di samping itu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Najib berkata, selain itu kajian semula komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan seksyen 27 Akta Polis 1967, mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
“Bagi saya, ini merupakan pembaharuan yang baik di lakukan oleh kerajaan dan transformasi seperti ini yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.
“Mungkin ini juga di sebabkan oleh tempias gelombang himpunan Bersih 2.0 yang lalu. Dan pengumuman ini juga titik tolak penentuan tarikh PRU yang ke-13,” kata Mohd Yusof.

Tiada ulasan: