19 Syawal 1432H. [MOD] -
1. Pemansuhan ISA disambut baik oleh semua pihak. Saya tidak pasti bagaimana sikap mereka yang lantang mempertahankan ISA sebelum daripada ini seperti Perkasa Datuk Ibrahim Ali, justeru hampir tiada insan yang boleh bersetuju dengan kezaliman dan kekejaman ISA sebagai sebuah akta draconian.
2. Tentunya pihak yang paling bersyukur dan paling gembira ialah Warga GMI [Gerakan Mansuhkan ISA] yang selama ini menjadi wadah rakyat prihatin yang merindui keadilan dan menentang kezaliman terutama ahli keluarga mangsa kekejaman ISA.3. Entah berapa banyak air mata mereka tumpah merintih dan munajat kepada Tuhan Yang Maha Kuasa berdepan kezaliman sang penguasa. Semoga janji pemansuhan ini segera dikotakan. Layaknya ia telah dimansuhkan sejak puluhan tahun yang lalu, setelah komunis tumpas dan menyerah diri lantaran semangat asal ISA diluluskan adalah untuk menangani pengganas komunis. Malangnya ISA digunakan untuk memenjara sosok dan minda pejuang dan ahli politik yang berbeza idealogi dengan pemerintah.4. Gerakan Mansuhkan ISA [GMI] sangat konsisten menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menolak dan memansuhkan ISA dan saya sangat teruja melihat kegigihan mereka tanpa tara dan mempeduli risiko apalagi penat dan lelah. Mereka menongkah keangkuhan pemerintah bercagarkan masa depan mereka, bukan sahaja untuk membebaskan anggota keluarga mereka yang terpenjara tetapi jua untuk memastikan kem Kemunting ditutup kekal agar tiada lagi yang menjadi mangsa kekejaman "Kem Guantanamo Malaysia" itu.5. Kemenangan rakyat ini menjadi satu bukti bahawa rakyat mempunyai keupayaan bertindak yang berkesan dan mereka mesti bersatu mengembeling kekuatan agar mereka tidak hanya dijadikan kuda tunggangan atau kerbau yang dicucuk hidung sehingga mereka boleh diperlakukan apa sahaja oleh sang pemerintah.6. Rakyat tidak perlu cepat tersilau dan terkesima dengan satu atau dua perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sementelah ia sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, justeru masih banyak perkara dan perubahan yang perlu dilakukan oleh pemerintah demi kepentingan rakyat dan rakyat semestinya meneruskan kebangkitan mereka seperti:- Gerakan Menuntut Royalti Petroleum yang digerakkan oleh rakyat Kelantan dan Terengganu,- Gerakan Mansuh AUKU yang digerakkan oleh Mahasiswa,- BERSIH yang digerakkan oleh lebih 60 NGO yang menunutut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara dan termasuklah- perubahan pada iklim sosial negara agar tidak disuburkan elemen yang merosakkan moral dan meruntuhkan aqidah ummah.7. Rakyat mesti terus mengembeling keupayaan mereka, menyemarak samangat reformasi memulih setiap sendi dan saraf sistem pemerintahan negara agar perubahan yang dilakukan tidaklah hanya bersifat tempelan dan pancing undi tetapi perubahan menyeluruh yang membawa negara dan rakyat makmur, aman, harmoni dan sejahtera. Perubahan juga jangan hanya pada bentuk aktiviti, pendekatan dan agenda bertindak, tetapi juga perubahan mesti melibatkan sikap, akhlak dan cara berfikir.8. Terima kasih dan tahniah tetap diberikan kepada YAB Perdana Menteri di atas langkah mengejut yang diambil oleh beliau sebagai ketua kerajaan, lantaran itulah tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan itulah jua yang menjadi desakan rakyat selama ini.9. Semoga Allah memberi kekuatan kepada rakyat untuk terus menggerakkan agenda perubahan menyeluruh demi masa depan negara dan seluruh warganya terutama usaha untuk menegakkan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Syariat Islam. Jua didoakan petunjuk buat semua, khasnya pemimpin dan pemegang amanah pemerintahan negara agar melakukan banyak lagi perubahan positif khususnya yang telah menjadi tuntutan rakyat.10. Kini rakyat sedang memerhati dengan tekun dan teliti, apakah YAB Perdana Menteri juga mempunyai keberanian untuk melakukan transformasi dalam sistem demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara agar keadilan dan ketelusan dapat dilaksanakan dengan yakin dan hak pengundi dapat diberikan sepenuhnya tanpa sebarang manipulasi. Antara yang menjadi fokus rakyat ialah penghapusan undi pos, dakwat kekal, akses media secara saksama, pemurnian daftar pemilih dan kaedah pengendalian hari mengundi.Nasrudin bin HassanKetua Dewan Pemuda PAS Malaysia11.45 am \ Jumaat16 September 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan