13 Oktober 2011

Jumpa janin di tapak pelupusan sampah

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MUADZAM SHAH – Seorang wanita Orang Asli yang menjadikan rutin hariannya mencari rezeki dengan mengutip sampah di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Ibam, di sini, terkejut apabila menemui sebuah beg plastik sampah yang berisi janin, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, wanita berusia 50-an itu terkejut apabila menjumpai mayat bayi dibaluti pakaian berwarna hitam di dalam plastik sampah berkenaan.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, jantina bayi tersebut masih belum dikenalpasti.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
“Bayi dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu yang terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Inspektor Suzie@ Stephanie Kupit di talian 019-3850502 bagi membantu siasatan.

Sinar/-

Tiada ulasan: