13 Oktober 2011

Masyarakat masih kurang sedar akan amaran awal Tsunami

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SUNGAI PETANI - Tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan amaran awal tsunami masih kurang hingga memerlukan program pemahaman berkaitannya diperbanyakkan dari semasa ke semasa.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ogu Salim Omar berkata daripada pemerhatian pihaknya mendapati kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amaran itu masih berada pada tahap tidak memuaskan.

"Orang kampung terutamanya masih belum faham tentang hal itu," katanya kepada pemberita pada sesi Latih Amal Tsunami di Daerah Kuala Muda sempena IOTWS Indian Ocean Tsunami Excercise "IOWave11" di Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa menganjurkan program berkaitan gempa bumi dan tsunami pada peringkat pusat mahupun negeri bagi meningkatkan pemahaman sekaligus menimbulkan kesedaran masyarakat supaya lebih bersiap-sedia menghadapi bencana itu.

Ogu Salim berkata pihaknya juga akan cuba melaksanakan program berkenaan di peringkat sekolah bagi membolehkan pendedahan awal tentang kesiapsiagaan bagi berdepan dengan bencana itu dapat disampaikan kepada golongan muda.

"Tidak dinafikan bahawa proses mendidik bagi menimbulkan kesedaran mahupun kefahaman bermula dari umur yang muda, jadi di sini kita akan cuba bawa masuk program-program berkaitan tsunami ini di peringkat sekolah. Kalau tidak boleh dalam kurikulum sekurang-kurangnya dibawa masuk dalam silibus kokurikulum," katanya.

Mengenai sesi Latih Amal Tsunami di Daerah Kuala Muda itu, Ogu Salim berkata lima kampung terpilih untuk menjayakannya iaitu Kampung Tepi Sungai, Kampung Masjid, Kampung Padang Salim, Kampung Keda Tepi Sungai dan Kampung Kepala Jalan.

Beliau berkata Latih Amal Tsunami itu diadakan untuk meningkatkan ketahanan masyarakat supaya bertindak sendiri sementara menunggu bantuan agensi penyelamat sampai selain meningkatkan kefahaman di kalangan anggota agensi penyelamat yang terlibat agar bertindak dengan lebih efisien.

Dalam perkembangan lain, Ogu Salim berkata pihaknya bersama agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pengurusan bencana telah bersiap sedia sebaik mungkin bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada musim monsun ini.- Bernama

Tiada ulasan: