13 Oktober 2011

PAS mahu polis siasat samseng bermotor

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS hari ini menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap sekumpulan belia bermotor yang didakwa sering mencetuskan provokasi dan kekacauan di beberapa program PAS di negeri itu.

Terbaru, kumpulan itu didakwa melakukan provokasi di dua ceramah umum Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 7 dan 10 Oktober yang lalu di Segamat.

Provokasi tersebut telah mencetuskan kekecohan sehingga seorang anggota Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS cedera di muka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat berkata, selain ceramah itu, kumpulan samseng bermotor itu juga sebelum ini pernah mengganggu petugas PAS sewaktu sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N 05 Tenang.

"Walaupun kelakuan ala-ala ‘samseng jalanan’ ini sudah berlaku berulang-ulang kali, namun tiada sebarang siasatan dan tindakan yang serius dilihat telah dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti tidak bermoral kumpulan ini," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau berkata demikian sewaktu menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada Ketua Polis Daerah Segamat.

Menurutnya lagi, kesan daripada gangguan berterusan itu telah mengganggu kelancaran program penerangan yang dianjurkan PAS termasuk gangguan bunyi motorsikal kumpulan mereka.

Provokasi oleh kumpulan ini juga ujarnya jika tidak dibendung boleh membangkitkan emosi dan kemarahan peserta program sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang tdak diingini seperti jerit-menjerit, laung-laungan caci-maki, tindakan seperti membaling batu dan objek-objek yang boleh mencederakan dan sebagainya.

"Malah provokasi yang dilakukan juga mengundang pergaduhan sehingga melibatkan kecederaan," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau mendesak Ketua Polis Daerah Segamat, Johor agar menjalankan operasi siasatan terperinci berkaitan aktiviti dan gerakan tidak bermoral kumpulan belia bermotor ini termasuklah individu yang terlibat, master mind dibelakang kumpulan ini dan pihak yang memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

Beliau juga mahu pihak polis segera mengambil tindakan yang tegas ke atas kumpulan belia bermotor ini bagi mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: