30 November 2011

Krisis Felda: Singkirkan saja Isa

4 Muharram 1433H. [MOD] -

Apabila Tan Sri Isa Samad bertegas beliau tidak akan sekali-kali meminta maaf kepada Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman yang mendakwa Pengerusi Felda itu telah menghina beliau, maka bermulalah satu episod hitam dalam sejarah Felda.

Belum pernah berlaku cabar mencabar dan suasana ‘panas’ di antara komuniti peneroka dengan pengurusan tertinggi Felda, sehinggalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang pernah digantung keahlian kerana kesalahan rasuah politik Umno itu dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 1 Januari 2011 menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Sebelum ini beliau yang dikenali di kalangan peneroka dengan panggilan Pak Sam, dalam satu sidang akhbar bersama (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda, telah memberi tempoh 14 hari kepada Isa supaya memohon maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka atau menghadapi tindakan saman.

Isa didakwa mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Kata-kata yang dianggap menghina warga peneroka itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan koperasi peneroka di Melang Inn, Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu. Sementara klip video ucapan Isa itu tersebar luas di internet.

‘Konfrontasi’ antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa dilantik secara kontroversi menjadi Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dengan mengenepikan Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Wahab (Datuk Zul). Hasilnya, dikatakan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Menurut edaran media Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap.

Akan tetapi yang menjadi kehairanan semua ialah apabila pada 23 Jun 2011 (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011) beliau tiba-tiba telah menjadi ahli KPF.

Sudahlah begitu, tidak sampai dua bulan selepas menjadi ahli KPF, Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri (PM) iaitu Datuk Aziz telah menulis surat bertarikh 15 Ogos 2011 kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Datuk Zul, yang belumpun sampai dua bulan disahkan pelantikannya sebagai Pengerusi KPF dalam mesyuarat agung.

KPF sememangnya dilihat sebagai ‘lombong emas’. Sebagai sebuah koperasi terkaya di Malaysia maka tidak hairanlah KPF menjadi sasaran rebutan. Setakat ini, keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka Felda, ahli keluarga dan generasi kedua.

Berbalik kepada konfrontasi antara peneroka dengan Isa, pertembungan memuncak apabila Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet pada 7 Oktober lalu mengumumkan Felda akan disenaraikan dalam bursa saham melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Pada masa ini, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui KPF. Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh Felda.

Selama ini FHB dianggap sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif telah mencatat perolehan sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang saham majoriti di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini melayakkan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

Dalam struktur baru selepas penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

Kes ini samalah dengan syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti profitability’nya. Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi lain pula dengan FGVH yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara yang mana pencapaiannya begitu mengecewa dan memalukan.

Inilah punca sebenarnya yang membuatkan peneroka mulai menentang keputusan Felda!

Shamsuddin sendiri, berkata penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal perolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada FGVH untuk disenaraikan ke bursa saham nanti.
Bagi Naib Presiden Anak, Aris Fezul Ismail, beliau melihat kes ‘Isa lawan Pak Sam’ ini ialah pertembungan antara dua kepentingan iaitu antara kepentingan ‘kroni’ dengan kepentingan peneroka kerana Pak Sam mewakili seluruh warga peneroka.

“Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya mendengar suara peneroka dan kebimbangan dan protes oleh Pak Sam ada asasnya kerana rekod FGVH selama ini tidak baik menyebabkan seluruh perniagaannya rugi hampir RM500 juta.

“Kerajaan mesti lakukan sesuatu kerana jika dibiarkan persengketaan antara Isa dengan Pak Sam yang mendapat sokongan padu peneroka ini dibiarkan berlarutan, perjalanan Felda sendiri dikhuatiri boleh pincang,” katanya yang juga anak peneroka Felda Jengka 16.

Bagi Pengarah Task Force Felda PAS Pahang, Yohanis Ahmad pula, jalan terbaik untuk memelihara keharmonian warga Felda ialah kerajaan memecat sahaja Isa daripada semua jawatannya dalam Felda.

“Kita kena ingat Isa hanya seorang ahli poilitik yang dilantik secara kontrak sedangkan Pak Sam mendapat sokongan padu daripada peneroka dan keluarga mereka yang berjumlah kira-kira sejuta orang.

“Sepatutnya kena tengok mana yang lebih ramai. Lagipun kerajaan kena ingat, pelantikan Isa sebagai Pengerusi Felda dulupun dipertikaikan secara terbuka oleh dua orang tokoh terkemuka ekonomi iaitu Prof Dr Zainal Aznam (Penasihat Bank Negara dan Ahli MTEN) dan juga Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz (CEO Maybank Investment).

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: