30 November 2011

Integriti hangus, tekan Shahrizat hingga letak jawatan


04 Muharram 1433H. [MOD] -
Tarmizi Mohd Jam

SUDAH tiba masanya, Ketua Wanita Umno Malaysia mesti meletakan jawatan. Isu penyelewengan dana awam yang melibatkan syarikat anak-beranaknya, kian sukar ditepis. Integriti Umno cedera teruk akibat "pecah amanah" dalam syarikat lembu.

Selain Pakatan Rakyat dan Timbalan Pengerusi BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan BN) Dato' Bung Mohtar Radin, tekanan NGO dilihat makin mara untuk menghentak Dato' Seri Shahrizat Jalil ke dinding.

Kongres Melayu Pulau Pinang mencabar Shahrizat melepas jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikutan dakwaan penyelewengan dalam projek ternakan lembu, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki, suaminya, Dr Mohamad Salleh Ismail.

Kepercayaan rakyat terhadap Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno telah hilang akibat dakwaan tersebut dan beliau kini tiada pilihan lain selain berhenti dan undur, jika merasakan dirinya ada maruah lagi.

PAS pula mahu semua menteri kabinet yang meluluskan projek Pusat Fidlot Kebangsaan sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM250 juta meletakkan jawatan.

Skandal ini membabitkan penyelewengan dana awam, kes yang teruk dan menghaguskan integriti pentadbiran negara.

Semua menteri yang terbabit, mesti letak jawatan. Malangnya, Shahrizat dipertahankan oleh Perdana Menteri, Timbalannya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pertanian, Noh Omar.

Muhyiddin sebagai menteri yang bertanggungjawab sepatutnya bukan mempertahankan Shahrizat sebaliknya mengambil tindakan ke atas kegagalan beberapa pihak yang menyalahgunakan dana awam tersebut.

Adakan ini bermakna mereka setuju dana awam diselewengkan?

Bung ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 menyelar Shahrizat kerana penglibatannya bersama keluarga dalam isu itu menyebabkan seluruh Umno menjadi susah.

Pendirian Ahli Parlimen Kinabatangan itu cukup jelas, "macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab".

Beliau menyindir Shahrizat, jika dia berada pada kedudukan itu, pasti akan melatakkan jawatan kerana terbukti ianya menyusahkan Umno.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti kepada Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.

Rakyat sepatutnya berhelah tegas dengan pelbagai cara untuk mengasak Shahrizat agar meletakan semua jawatannya. Isu ini bakal memberi kesan buruk terhadap integriti Umno-BN.

Skandal ini boleh disifatkan sebagai satu lagi episod malang melanda negara, dan Perdana Menteri sepatutnya menyatakan pendirian dan mengambil tindakan tegas terhadap Shahrizat.

Perkara berbangkit di sini yang menjadi 'crux of the case' tentang kewujudan yang nyata ke atas pembelian kondominium bertempat di One Menerung, Bangsar yang dikatakan pembelian hartanah berkenaan adalah bagi mendapatkan pulangan pelaburan memandangkan projek lembu Feedlot oleh NFC mengalami kelewatan operasi.

Perlu diingat modus operandi syarikat NFC untuk mendapatkan pinjaman modal berkenaan adalah bagi tujuan industri penternakan dan bukannya pelaburan hartanah.

Secara tidak langsung telah wujud situasi penyelewengan dan pecah amanah yang melampaui keraguan munasabah.

Walau apapun spekulasi yang timbul Shahrizat tidak boleh menafikan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan NFC. Begitu juga soal pinjaman modal oleh pihak kerajaan dan pembelian kondominium mewah berkenaan.

Langkah Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pelbagai urusniaga melibatkan NFC dan Projek Fidlot Kebangsaan, patut dipuji walaupun diragui.

Isu paling pokok adalah persoalan pertanggungjawaban awal yang bermula dari Kabinet dan menteri-menteri kanan Umno-BN yang terlibat menganugerahkan projek bernilai RM250 juta ini kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman langsung.

Dana awam berjumlah RM250 juta pun disalurkan tanpa ada sebarang jadual pembayaran seperti mana kebiasaannya.

Di mana Najib? Lebih-lebih lagi apabila Noh Omar mengejutkan negara dengan mengesahkan kelulusan projek ini tidak dibawa ke peringkat kabinet.

Sebaliknya, projek berjumlah RM250 juta ini khabarnya diluluskan oleh sebuah jawatankuasa bukan kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri ketika itu.

Isunya, apakah yang merunsingkan Najib untuk mengambil tindakan terhadap Shahrizat? Sedangkan jelas, penyelewengan dana awam berlaku dan Ketua Wanita Umnonya terbabit.

Tiada ulasan: