18 November 2011

Orang Asli bantah tanah adat diceroboh

22 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

MARAN, 18 Nov: Kira-kira 50 penduduk dari kampung Orang Asli Paya Besar, Chenor dekat sini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Maran semalam kerana mendakwa berlaku pencerobohan terhadap Wilayah Tanah Adat mereka oleh kontraktor pembalakan.

Jurucakap penduduk, Kamar Hamzah, 42, berkata mereka menyedari pencerobohan itu sudah berlaku selama lebih daripada sebulan di mana pihak pembalak yang dipercayai didalangi pemimpin politik tempatan, telah menebang pokok dan menyodok tanah di kawasan wilayah adat mereka.

Beliau yang turut membuat laporan polis, berkata kegiatan menceroboh Wilayah Tanah Adat Orang Asli itu telah menyebabkan 79 keluarga yang mendiami kampung berkenaan mengalami kerugian dan dinafikan hak.

“Kawasan tersebut kami telah mohon hak milik melalui Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) pada tahun 2003, bertujuan untuk tanaman komersial seluas 100 hektar. Namun sehingga kini tiada jawapan. Pelan topo juga masih ada dalam simpanan kami.

“Walaupun masih belum mendapat sebarang kelulusan tetapi kawasan itu adalah tanah adat kami sejak turun temurun yang diterokai nenek moyang kami sejak dulu lagi.

“Sebab itu kami membantah pencerobohan ini bagi mempertahankan tanah adat yang menjadi wilayah kami agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Laporan polis dibuat hari ini bagi memohon dibuat siasatan dan dihentikan segera pencerobohan ke atas wilayah tanah adat kami,” katanya di luar balai polis.

Menurut Kamar, penceroboh berkenaan bukan saja menebang balak sesuka hati tetapi lebih mencurigakan mereka meletakkan batu pancang beralih-alih tempat di kawasan yang didakwa wilayah adat itu sehingga menimbulkan keresahan kepada penduduk.

“Nampaknya penceroboh bukan saja mengeluarkan kayu balak tetapi juga mahu merampas tanah wilayah kami berdasarkan batu pancang yang beralih-alih kedudukan itu diletakkan secara tiba-tiba termasuk dalam kawasan kebun getah yang sedang diusahakan penduduk.

“Apa yang dikesalkan, mereka menceroboh sesuka hati termasuk memusnahkan kawasan yang kami anggap ‘tempat suci’ selama ini di mana di situlah tempat orang-orang tua kami ‘meminta’ sesuatu apabila berlaku sakit pening.

“Inilah yang menyebabkan orang-orang di kalangan kami sangat marah,” katanya.

Kamar turut meminta supaya pejabat tanah mewartakan segera kawasan wilayah tersebut sebagai tanah adat hak milik Orang Asli bagi mengelakkan pencerobohan juga sebagai memenuhi janji pemimpin politik setiap kali pilihan raya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: