18 November 2011

Perluas perkhidmatan kesihatan percuma

22 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk memberikan pengecualian terhadap pesakit miskin yang tidak mampu untuk membayar caj perubatan yang diterima di hospital-hospital kerajaan daripada membayarnya.

“DPPWP menganggap usaha ini merupakan sesuatu yang positif bagi membantu golongan miskin untuk terus mendapatkan perkhidmatan rawatan secara percuma,” kata timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Kenyataannya, kata beliau perkhidmatan kesihatan merupakan suatu yang asas dalam sesebuah negara.

Menurutnya, selain pendidikan, kesihatan merupakan keperluan asas yang tidak boleh dielakkan bagi setiap rakyat.

Tambahnya, tiada sesiapa memilih untuk sakit dan berpenyakit, tetapi ia adalah suatu hakikat yang perlu dihadapi oleh segelintir rakyat.

Namun demikian, ujarnya dalam keadaan kemelut hidup yang semakin menghimpit, golongan miskin sudah pasti tidak akan mampu mendapatkan rawatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan atau swasta jika mereka sakit.

“Selalunya golongan miskin terpaksa memilih pilihan lain untuk mendapatkan rawatan kesihatan lanjut seperti rawatan tradisional yang sudah tentu tidak sebaik rawatan biasa di hospital,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, ujarnya tawaran kesihatan percuma untuk golongan miskin pasti akan membantu mereka ‘menyambung nyawa’ dan mengurangkan risiko penyakit.

Menurutnya, DPPWP berpendapat, kerajaan perlu meluaskan perkhidmatan kesihatan percuma untuk semua rakyat di hospital-hospital kerajaan tanpa mengira latar belakang mereka.

Beliau berkata, ramai lagi rakyat yang menderita penyakit tetapi tidak mampu untuk menjalani rawatan bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana kos rawatan yang terlalu mahal untuk ditanggung.

Katanya, bagi golongan yang berkemampuan pula mereka boleh memilih untuk ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lebih selesa dan kondusif.

“DPPWP mengharapkan, rawatan kesihatan percuma dipermudahkan urusannya agar perkhidmatan ini mampu dinikmati oleh setiap lapisan rakyat

“DPPWP percaya perkhidmatan kesihatan percuma adalah suatu bentuk kebajikan yang boleh membantu rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

Ini juga, kata beliau menepati hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam keadaan sihat serta menjadi negara yang memberikan khidmat kesihatan antara terbaik di dunia.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: