20 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 15 Nov: Pemimpin Pakatan Rakyat mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) memberi jawapan bertulis berhubung status permohonan mendaftarkan 'Pakatan Rakyat' sebagai parti.
Sehingga kini menurut Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, ROS tidak memberi jawapan hitam putih berhubung perkara itu kepada pihaknya.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini, beliau berkata, jawapan dari ROS itu penting sebelum pihaknya mengemukakan permohonan baru.
"ROS mestilah keluarkan keputusan hitam putih terhadap status permohonan terdahulu yang melibatkan Datuk Zaid Ibrahim.
"Kalau dia kata tolak, tolak...alasanya apa, Zaid tak anggotai PKR," katanya sambil menegaskan akan menunggu surat itu terlebih dahulu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kepada kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman dalam temubual dengan Utusan Malaysia, bahawa permohonan pendaftaran 'Pakatan Rakyat' secara automatik terbatal selepas Zaid selaku pemohon telah meninggalkan Pakatan.
Beliau juga mendakwa, Pakatan Rakyat tidak pernah mengemukakan permohonan baru selepas dari itu.
Menurut Saifuddin lagi, Pakatan Rakyat telah melantik AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar menggantikan tempat Zaid dan permohonan baru telah dilakukan kepada Ketua Penolong Pengarah Pendaftar Pertubuhan ROS.
Namun ujarnya, ketua penolong pengarah tersebut enggan menerimanya bagi pihak ROS kerana mendakwa permohonan terdahulu belum dimuktamadkan oleh ROS.
"Kita follow up dari masa ke masa. Kes itu pending sehingga ketua pengarah ROS kata kita tak buat apa-apa.
"Majlis Presiden juga bersetuju untuk satu permohonan baru kita kemukakan sepantas mungkin apakala keputusan ROS itu diketahui," katanya.
HARAKAHDAILY/-
1 ulasan:
ROS jadi peROSak
Catat Ulasan