16 November 2011

Penduduk runtuhkan tembok

20 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BANGKOK - Penduduk di kawasan banjir Bangkok mengadakan bantahan, kelmarin, dengan meruntuhkan tembok banjir diperbuat daripada beg pasir bagi menunjukkan kekecewaan mereka kerana sebahagian kawasan di ibu negara Thailand itu teruk ditenggelami air bagi memastikan pusat bandaraya kekal kering.

Hampir 70 orang berkumpul di wilayah Don Mueang bagi memastikan pihak berkuasa tidak memperbaiki semula tembok yang diruntuhkan orang ramai bagi membolehkan air dari kawasan teruk terjejas mengalir keluar.

Tembok sepanjang 15 kilometer itu menjadi sistem penghalang banjir utama agar air banjir dari utara negara itu tidak menenggelami kawasan pusat bandar Bangkok.

Banjir terburuk dalam tempoh separuh abad di Thailand tercetus akibat hujan lebat luar biasa sejak beberapa bulan lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 562 penduduk terbunuh dan jutaan kediaman musnah.

Selepas beberapa minggu tenggelam, banjir di Bangkok mula surut tetapi kemarahan penduduk bertambah kerana rumah mereka terpaksa dikorbankan bagi menyelamatkan pusat pelancongan dan komersial Bangkok.

Di barat Bangkok, kira-kira 200 orang menghalang lebuh raya yang menghubungkan ibu kota ke selatan Thailand bagi menuntut pam air tambahan untuk membantu pengaliran keluar air yang menenggelamkan kawasan kediaman mereka.

Kemarahan penduduk memaksa Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra merayu rakyat negara itu bersabar dan bersatu menerusi laman sosial Facebook beliau, kelmarin.

“Penduduk yang berhadapan banjir diharap bersabar dan dapat bersatu menghadapi krisis ini. Kerajaan akan cuba menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Yingluck yang baru sahaja menerajui Thailand tiga bulan lalu berhadapan kritikan mengenai cara beliau mengendalikan bencana di negara itu.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: