17 November 2011

Pemuda PAS desak bebaskan segera tahanan ISA

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab membebaskan segera 11 tahanan terbaru dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan, tangkapan terbaru itu sangat bertentengan dengan aspirasi Najib yang sebelum ini mengumumkan pentadbirannya akan memansuhkan akta draconian itu kerana tidak lagi relevan untuk digunakan.

"Pemuda PAS mendesak supaya kerajaan membebaskan segera tahanan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

"Ini jelas, kerajaan tak pernah serius untuk memansuhkan akta ini. Sepatunta tak perlu lagi tangkapan selepas pengumuman (pemansuhan) dibuat," tambahnya kecewa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sekumpulan lelaki di Sabah yang ditahan dibawah ISA pada 14 November lalu kerana didakwa terbabit dengan kegiatan militan.

Difahamkan sekurang-kurangnya 10 atau 11 orang ditahan termasuk juga warga Filipina dan Indonesia.

Semua mereka ditahan mengikut di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, Dewan Pemuda PAS secara konsisten menentang ISA atas sifatnya yang zalim kerana membenarkan tahanan tanpa bicara.

Beliau juga mahu kesemua yang baru ditahan tersebut dibicarakan dan dibuktikan kesalahan mereka dan bukannya ditahan tanpa bicara dibawah ISA.

Sambil menyifatkan Najib sebagai 'tidak jujur' dengan janjinya, beliau menyeru rakyat bangkit membuat perubahan.

"Kalau dalam isu ISA ini pun beliau tak jujur, kita khuatir perkara sama dibuat terhadap PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambaikan Proses Pilihan Raya).

"Kata PRU selepas PSC selesai buat cadangan, tetapi tak mustahil mereka umum pilihan raya awal," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: