17 November 2011

Rasmi, amah Indonesia ke Malaysia 1 Disember

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Indonesia secara rasmi mengumumkan akan menyambung semula penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 1 Disember ini.

Keputusan berhubung perkara itu dibuat secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada mesyuarat dua hala di Nusa Dua malam semalam.

"Saya dan Presiden SBY telah membuat keputusan bersama supaya penghantaran tenaga kerja (sektor tidak formal) dari Indonesia ke Malaysia akan disambung semula mulai 1 Dis yang akan datang ini.

"Sudah tentu berita ini akan disambut dengan begitu baik sekali di Malaysia kerana ini sudah begitu lama sekali dinanti-nantikan dan ini menunjukkan bahawa kesungguhan dan keikhlasan Presiden SBY untuk mencari penyelesaian secara postif untuk apa jua permasalahan yang berbangkit antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di Nusa Dua, malam semalam.

Katanya beliau telah menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas keputusan itu dengan harapan pelaksanaan keputusan itu akan berjalan lancar sesuai dengan pindaan yang dibuat ke atas memorandum pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani kedua-dua belah pihak di Bandung pada Mei lalu.

Mesyuarat dua hala itu adalah susulan kepada pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Perundingan Tahunan yang diadakan di Lombok, Nusa Tenggara Barat, bulan lalu di mana kedua-dua bersetuju membuat keputusan bersama di Bali berhubung isu itu.

Pada pertemuan di Lombok itu mereka bersetuju untuk melihat laporan Pasukan Petugas Khas Bersama mengenai makanisme pelaksanaan persetujuan-persetujuan pada protokol bagi meminda Memorandum Persefahaman Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006.

Semalam, kedua-dua Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar telah melaporkan kepada kedua-dua pemimpin mengenai makanisme pelaksanaan persetujuan itu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Berikutan itu, kedua-dua negara berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.

Bagaimanapun penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang.

Dr Subramanian ketika menjelaskan mengenai persetujuan itu berkata antara perkara utama yang dipersetujukan ialah mengenai keperluan mengadakan kontrak kerja untuk pembantu rumah, kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditetapkan pada kadar RM4,511, wajib kursus selama 200 jam, cuti satu hari seminggu kepada pembantu rumah selain mereka dibenarkan memegang sendiri pasport.

Majikan pula hanya dibenarkan mengambil balik RM1,800 daripada kos yang mereka dahulukan kepada pekerja dengan memotong gaji tidak lebih daripada 50 peratus sebulan daripada pekerja mereka.

Perlindungan kepada majikan ialah mereka berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya daripada ejen pekerja jika pembantu rumah mereka melarikan diri dalam tempoh enam bulan, jika mereka tidak mendapat pengganti.

- Bernama

Tiada ulasan: