17 November 2011

Penempatan guru: Mahyiddin wajar letak jawatan

21 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Gabungan Ikatan Islam Se-Malaysia (Gamis) menasihatkan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan ekoran kegagalannya menangani masalah penempatan guru graduan pendidikan.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, presidennya Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri itu sehingga kini masih gagal memberi jaminan 'posting' kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

"Graduan dalam bidang pendidikan ini memerlukan jawapan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya oleh Tan Sri Muhyidin untuk memastikan mereka boleh mengatur masa depan yang baik kerana pengangguran dikalangan graduan bakal guru ini semakin teruk ditambah pula kenyataan yang tidak cermat dan mengguriskan hati mahasiswa oleh menteri berkenaan supaya graduan bidang pendidikan ini mencari kerja lain selain dari guru," katanya.

Selain itu beliau juga mempersoalkan nasib graduan ISMP yang dianak tiri, dalam masa yang sama sejumlah 13000 guru Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) diserap ke jawatan tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sepatutnya diisi oleh graduan bidang pendidikan yang tamat pengajiannya pada 2011 ini.

Menurutnya, pengumuman pada bajet 2012 untuk melanjutkan umur bersara penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun juga turut memberi kesan berantai kepada pengangguran graduan yang terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk mengisi ruang dalam penjawat awam dan juga terpaksa bersaing dengan graduan baru pada masa tersebut.

"Lebih mengecewakan ialah bangsa asing lebih diutamakan untuk menjadi pendidik kepada anak bangsa kita setelah pengumuman kerajaan untuk membawa masuk 300 orang guru bahasa inggeris dari Amerika Syarikat yang menelan belanja RM18 juta sedangkan dalam masa yang sama ramai graduan anak watan yang menganggur.

"Soalnya, siapa yang lebih diutamakan untuk mendidik generasi bangsa kita," soal Syazwan.

Tambahnya lagi, kegagalan garaduan ditempatkan juga menyebabkan mereka terus terbeban untuk membayar wang pinjaman PTPTN.

Tekanan ini katanya, sepatutnya diselesaikan dengan bijak oleh seorang Menteri Pelajaran dengan memberikan ruang dan jalan yang sesuai, bukannya lari dari tanggungjawab dengan menyuruh bakal guru untuk bekerja di sektor lain.

"Sesunggunya amat songsang dengan falsafah pendidikan apabila seorang bakal guru disaran untuk bekerja diladang ternakan lembu.

"Maka pihak Gamis merasakan Tan Sri Muhyidin Yasin perlu meletakkan jawatan atas kegagalan menguruskan graduan dan bakal guru ini disamping dasar pendidikan yang tidak konsisten dan menyusahkan rakyat termasuk juga dalam isu PPSMI.

"Jawatan ini perlu diberi kepada yang layak dan mampu berfikir untuk mencari jalan penyelesaian, bukan helah untuk selamatkan diri dan kepentingan," tegasnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: