11 November 2011

SU Agung: Mesyuarat BN petang ini, tiada agenda khusus

14 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Di sebalik desas-desus mengenai pembubaran Parlimen hari ini, Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat rutin Dewan Tertinggi di ibu negara, petang ini.

Ia berlangsung di sebalik situasi pelbagai pihak membuat andaian menerusi SMS dan Twitter bahawa Datuk Seri Najib Razak akan menggunakan tanggal 11-11-11 iaitu hari ini untuk membubarkan Parlimen.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu tidak mungkin sebab Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno mempunyai aturan mesyuarat yang ketat hari ini.

Pagi ini, Najib yang juga Pengerusi BN akan mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet — yang pertama selepas kembali daripada menunaikan haji. Beliau tiba di sini tanah air kelmarin.

Beberapa sumber dari BN dan agensi pengendalian pilihan raya yang dihubungi mengakui tiada sebarang tanda-tanda ke arah itu hari ini.

Seorang timbalan menteri yang dihubungi juga menolak spekulasi sedemikan dengan berkata, "Bajet 2012 yang kini masuk peringkat jawatankuasa hanya akan selesai diluluskan sekitar 23 November. Jadi saya rasa tidak mungkin."

The Malaysian Insider yang turut menghubungi pegawai kanan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menolak desas-desus itu dengan berkata, "setakat malam ini (tadi) tiada apa-apa pun."

"Saya tidak melihat Parlimen akan dibubar hari ini, tak ada apa-apa tanda pun," katanya yang merupakan pegawai kanan kepada seorang pemimpin komponen BN.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) yang dipetik Bernama Online berkata, mesyuarat petang ini adalah mesyuarat rutin yang diadakan dari semasa ke semasa tanpa agenda spesifik.

"Ia adalah mesyuarat biasa yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN untuk membincangkan isu-isu biasa. Tiada agenda spesifik atau isu," katanya yang juga Setiausaha Agung Umno.

Tarikh mesyuarat itu telah pun ditetapkan lebih awal dan notis mesyuarat telah dikeluarkan lebih seminggu yang lepas, kata beliau.

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN kali terakhir diadakan pada 12 Ogos lalu.

Pilihan raya umum ke-12 diadakan pada Mac 2008 dan penggal sekarang hanya akan berakhir pada April 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menyelesaikan taklimat kepada pegawai pengurus pilihan raya akhir bulan ini.

Malaysiainsider/-

Tiada ulasan: