11 November 2011

Allahyarham Kamarulzaman 'wira royalti' Kelantan

14 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 11 Nov: Anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, menyifatkan, pegawai khasnya, Allahyarham Kamarulzaman Abdullah, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Paloh kira-kira 2.30 pagi tadi sebagai wira royalti.

Menurutnya, semua urusan tuntutan royalti telah diurus oleh Allahyarham dengan baik dan penuh amanah demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Allahyarham seorang pegawai saya yang amanah, jujur, rajin berusaha terutama dalam tuntutan royalti ini.

"Dia yang banyak menyelidik, mencari bahan bukti dan memang dia wira termasuk sahabatnya yang turut cedera dalam kemalangan itu,” ujarnya.

Husam berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah di rumah keluarga allahyarham di Kampung Kota, di sini tengahari tadi.

Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Kampung Kota untuk disolatkan kali ketiga sebelum di kebumikan di perkuburan Islam Tok Panjang, dekat sini.

Sebelum ini Husam sendiri mengimamkan solat jenazah di rumah keluarga allahyarham di sini.

Allahyarham berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Husam sejak tiga tahun lalu.

Allahyarham merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Bharu, Anggota Exco Pemuda PAS Negeri serta beberapa lagi jawatan lain.

Allahyarham Kamarulzaman, 32, terlibat dalam kemalangan maut ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero yang dinaikinya, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang

Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti semalam.

Bagaimanapun, dua orang lagi rakannya Penolong Pengurus Sumber Manusia PKINK Mohd Roslan Mohd Zain cedera dikepala pegawai di Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ridwan Elias hanya cedera ringan.

Roslan yang juga suami kepada kakitangan Harakah Cawangan Kelantan (Noraisiah Deraman), mulanya dirawat di Hospital Kuala Krai kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu manakala Ridwan kini dibenarkan pulang.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang turut hadir pada majlis pengebumian itu mengucapkan takziah pada anggota keluarga.

“Semoga Allah menempatkan allahyarham di tempat orang yang soleh,”ujarnya.

Turut menziarahnya Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: