KUALA KRAI, 11 Nov: Pembantu khas kepada Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah (gambar, berdiri kiri) meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dekat Paloh di sini awal pagi ini.
Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, beliau bersama dua lagi rakannya menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang.
Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti Kelantan.
Akibat kemalangan itu, beliau yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah Allahyarham kini dibawa ke Hospital Gua Musang.
Dua lagi rakannya Roslan Mohd Zain juga cedera di kepala dibawa ke Hospital Kula Kerai manakala Redzuan Elias hanya mengalami mengalami cedera ringan.
Pemandu dan penumpang Myvi juga cedera parah dan turut dibawa ke Hospital Kula Kerai untuk rawatan lanjut.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa balik ke rumah keluarganya di Salor, Pasir Mas selepas selesai urusan hospital selesai.
Allahyarham yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
Sementara itu, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa yang kini dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman.
"Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman...Al-Fatihah," katanya.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan