08 Januari 2012

Penangguhan sementara kuliah Subuh dan Maghrib : 500 demo depan masjid

14 Safar 1433H. [MOD] -


500 demo depan masjid

TAIPING – Isu pekeliling yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak mengenai penangguhan sementara kuliah Subuh dan Maghrib di Masjid Daerah Taiping menjadi bualan hangat penduduk beragama Islam di sekitar Taiping.

Lanjutan dari pekeliling tersebut, satu demonstrasi disertai hampir 500 orang dilakukan selepas solat Jumaat, semalam.

Demonstrasi itu disertai golongan pelbagai usia melaungkan ‘Takbir Allahuakbar’ sebelum dua wakil mereka menyampaikan rasa tidak puas hati mengenai isu ini.

Luahan rasa tidak puas hati itu diselangi dengan laungan ‘takbir’ yang mengambil masa hampir 20 minit sebelum semua yang hadir bersurai kira-kira jam 2.45 petang.

Doa daripada Yang Dipertua Pas Taiping, Ustaz Fakharuddin Abd Aziz mengakhiri demonstrasi berkenaan. Hadir sama, Adun Aulong, Yew Tien Hoe.

Selepas berakhir demonstrasi, terdapat segelintir yang hadir membuat provokasi, bagaimanapun ia berjaya ditenangkan rakan mereka.

Sepasukan polis turut berada di perkarangan masjid sebagai pemerhati dan mengawasi keadaan tersebut.

Sementara itu, salah seorang Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan, Mohd Salleh Arshad berpendapat, demonstrasi itu dilakukan kerana kurang bersetuju dengan tindakan yang dilakukan apabila kuliah Subuh dan Maghrib ditangguhkan.

Menurutnya, demonstrasi menjadi tempat dan saluran kumpulan berkenaan menyatakan bantahan mengenai pekeliling tersebut dan secara peribadi ia dianggap berjaya kerana mendapat sokongan ramai. SH/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya ingin tau mengapa kuliah itu ditangguh. Apakah kerana kurang sambutan atau sambutannya terlalu ramai hingga diklasifikasikan sebagai mengganggu ketenteraman awam. Harap YB dapat jelaskan