18 Januari 2012

Warna Merah Untuk Tingkat Rahmat Sempena Tahun Naga

24 Safar 1433H. [MOD] -

Ruang legar sebuah pusat beli belah dihiasi dengan Patung Naga menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang merupakan Tahun Naga ketika tinjauan fotoBERNAMA di salah sebuah pusat membeli-belah.

TANGLUNG merah dalam pelbagai saiz dan bentuk semakin banyak digantung di rumah-rumah, gedung membeli-belah dan pejabat-pejabat di Lembah Klang.

Dan ini tanda rakyat Malaysia sedang bersiap untuk meraikan satu lagiperayaan utama negara Tahun Baharu Cina atau Gong Xi Fa Chai.

Tahun ini, ialah tahun Naga air, iaitu haiwan kelima daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina, dan akan lahir pada 23 Januari.

Naga samawi ini merupakan lambang tersohor dalam mengecapi kejayaan dan kebahagiaan dan masyarakat Cina percaya tahun baharu ini akan membawa rezeki yang melimpah ruah kepada mereka yang dilahirkan padatahun Naga.

Individu yang dilahirkan pada tahun Naga dipercayai akan mempunyai ciri-ciri positif - keusahawanan, artistik, inovatif, berkuasa, bertuah, bersemangat, intuitif, dan sifat negatifnya ialah angkuh dancepat marah.

Dan seperti dipercayai oleh masyarakat Cina turun-temurun, bukan sahaja tanglung merah yang menghiasi rumah-rumah mereka tetapi warna merah juga harus menjadi tema hidup, bermula dari malam sebelum Tahun Baharu Cina sehingga Chap Goh Mei, satu tempoh selama 15 hari, untuk menjamin tuah sepanjang tahun.

Oleh itu bukanlah sesuatu yang luar biasa jika tanglung dan pelbagai lagi barang hiasan tradisional hanya boleh didapati dalam warna merah.

Wanita ini memilih perhiasan tanglung untuk dihiasi di rumahnya sebagai persiapan menyambut perayaan Tahun Baru Cina semasa membeli belah di sebuah pasaraya.

GUNAKAN MERAH UNTUK MERAIH SEBANYAK MUNGKIN RAHMAT NAGA

Pada zaman awal, tanglung diperbuat daripada kertas merah nipis.

Kemudian muncul tanglung yang diperbuat daripada kertas merah yang lebih tebal, dalam bentuk sfera atau memanjang serta menirus di hujung bawahnya.

Hari ini, terdapat tanglung yang diperbuat daripada bahan kain dengan corak bunga atau menggunakan kain broked tetapi masih warna merah.

Susan Lim, pemilik bersama sebuah kedai kraf di SS14, Subang Jaya berkongsi dengan Bernama baru-baru ini sedikit sebanyak maklumat mengenai tanglung.

"Menggantung tanglung di anjung hadapan menjadi tradisi sejak zaman dahulu lagi. Saya telah menjualnya selama bertahun-tahun. Ramai melihat tanglung ini sebagai hiasan untuk rumah.

"Tanglung baharu yang diperbuat daripada kain broked merah nampak lebih mewah dan cantik. Anda boleh membeli sepasang pada harga RM78. Yang biasa datang dalam pelbagai saiz; sederhana dan besar dan dijual pada harga lebih RM30 sepasang, khususnya yang lebih berkualiti.

Lazimnya, menurut Lim, jualan aksesori Tahun Baharu Cina termasuk bunga Mei Hua (dahan pokok plum yang mekar) yang kebanyakannya warna merah dan merah muda, reben satin merah dan tanglung., akan meningkat mendadak dua minggu sebelum ketibaan Gong Xi Fa Cai.

"Saya perlu menghias kedai lebih awal supaya dapat mempromosi elemen-elemen yang ada bagi menarik perhatian pelanggan saya. Dan para pelanggan boleh memilih barang hiasan mengikut kemampuan mereka,"jelas Lim.

MERAH BAGI TUAH

"Guna lebih banyak pakaian merah pada tahun naga. Bagi muda-mudi hari ini yang tidak berminat dengan warna merah, gunakan warna bertuah ini dalam bentuk pelengkap, seperti aksesori tali pinggang pada pakaianTahun Baharu," kata Eric Leong, perekabentuk dalaman selebriti danduta Dulux Colour baru-baru ini.

Di zaman kanak-kanaknya, Leong pernah memakai pakaian dalaman berwarnamerah pada hari pertama tahun baharu.Dan begitu juga adik beradiknya.

"Setiap tahun kami memakai pakaian dalaman berwarna merah supaya kamidikurniakan rezeki yang baik," tambah Leong.

MEI HUA

Sementara itu, bunga juga mempunyai lambang tersendiri semasa tahun baharu.

Tahukah anda mengapa Mei Hua menjadi pilihan wanita setiap kali menyambut perayaan ini?

Penulis juga berhasrat membeli sejambak Mei Hua untuk menghiasi bilik keluarga.

Mei Hua dijual pada harga RM38 bagi sejambak kecil yang tingginya lebih sedikit daripada 1.5m.

Bunga Plum buatan ini pula dijual dalam bentuk tangkai, dengan setiap tangkai merah, merah muda atau putih dijual pada harga RM4 sementara tangkai yang lebih besar dijual pada harga sekitar RM12.

Leong bersetuju bahawa mengadakan elemen yang berkaitan dengan rezeki yang melimpah ruah perlu dipatuhi sejauh yang mungkin, termasuk bunga-bungaan ini.

"Pastikan terdapat banyak bunga pada hari sebelum Tahun Baharu Cina, sebelum majlis makan malam keluarga. Apabila anda mempunyai rezeki yang banyak anda akan tunjukkan dengan lebih banyak, ia satu petanda baik. Harapan untuk menyaksikan lebih banyak tuah sepanjang tahunmeningkat lagi. Itulah kepercayaan moyang kami," kata Leong.

Apa keistimewaan bunga ini?

"Mei Hua merupakan bunga yang tahan lasak, ia sehinggakan boleh bertahan dalam cuaca yang begitu sejuk. Menyimpannya dalam rumahsebagai hiasan dikatakan dapat memberikan daya tahan yang sama bagi isirumah," jawab Lim apabila diminta penjelasan tentang keistimewaan bunga ini.

POSTER TUAH

Jualan tangkal azimat untuk digantung atau ditampal pada pintu dan dinding rumah atau pejabat turut mula meningkat di kedai-kedai dua minggu sebelum Tahun Baharu.

Seorang penjual barangan ini di USJ11, Subang Jaya yang tidak mahu namanya disiarkan berkata poster gambar naga boleh didapati dalam dua saiz, sederhana dan besar.

"Masing-masing dijual pada harga RM3 dan RM5. Menampalnya di permukaan luar pintu dikatakan akan membawa kesejahteraan kepada mereka yang tinggal di dalamnya.

"Yang besar sesuai bagi pintu hadapan sementara yang sederhana boleh ditampal di dalam," jelas peniaga ini sementara menunjukkan dua paket tangkal dalam saiz berlainan kepada seorang pelanggan wanita.

Terdapat juga pembeli tangkal-tangkal ini yang tidak percaya dengan amalan ini tetapi tetap membelinya untuk menghiburkan anak-anak muda mereka kerana ia menceriakan lagi mood sambutan.

"Saya menampal tangkal-tangkal ini bagi tujuan hiasan sahaja. Ia membawa kegembiraan terutama apabila anda mempunyai anak-anak muda di rumah," kata Joanne Tan.

Tangkal-tangkal azimat ini hampir kesemuanya datang dalam warna merahatau keemasan berlatarkan arca naga dan tulisan kaligrafi yang mengiringinya membawa maksud harapan besar bagi kemakmuran dan kesejahteraan.

Menyambut kedatangan tuah bagi Tahun Baharu lazimnya bermula dua minggu sebelum kalendar baru bermula dan seperti biasa Yee Sang (gaul untuk kemakmuran); iaitu menggaul campuran ikan mentah dansayur-sayuran dalam pelbagai warna yang melambangkan kemewahan dan kesejahteraan; juga diadakan oleh syarikat-syarikat korporat bagi petugas dan rakan, bukan sahaja untuk menjalin hubungan yang lebihbaik, tetapi juga bagi menjamin produktiviti lebih besar untuk tahunnaga 2012.

"Selain daripada majlis makan malam keluarga dengan Yee Sang, saya juga membeli barangan makanan kering untuk dihadiahkan kepada warga emas, supaya ia boleh digunakan oleh mereka pada majlis makan malam sebelum Tahun Baharu. Saya antara lain membeli cendawan, kekapis dantiram dan menghantarnya dalam kotak bersama peket merah (Ang Pow) di atasnya.

"Warna merah adalah untuk rahmat dan kemakmuran yang lebih," jelas Madam Lim, dalam usia lewat 50-an semasa ditemui pada satu majlis jamuan Yee Sang baru-baru ini.

Gong Xi Fa Cai kepada semua warga Malaysia yang meraikan Tahun Baharu Cina dan marilah kita sama-sama mengharapkan yang tahun naga air ini membawa kesejahteraaan dan keharmonian kepada semua! - BERNAMA

Tiada ulasan: