06 Februari 2012

OIC kesal resolusi Syria diveto

13 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
ORANG ramai melihat mangsa-mangsa yang mati akibat serangan tentera Syria di wilayah Homs kelmarin.


JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menyatakan ia berasa amat kesal dengan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang gagal mencapai kata sepakat untuk mengutuk tindakan memerangi para penunjuk perasaan oleh tentera Syria.

Menurut OIC dalam satu kenyataan, ia berasa amat kesal selepas Rusia dan China menggunakan kuasa veto berhubung draf resolusi Syria di PBB kelmarin.

Pertubuhan itu juga memberi amaran bahawa perang saudara akan berlaku di Syria.

Ekoran itu, ia mendesak pemerintah Syria untuk menumpukan terhadap satu penyelesaikan politik dan mempromosikan pembaharuan seperti dijanjikan.

Rusia yang merupakan sekutu Syria dan China melakukan veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung tindakan ketenteraan di Syria yang menyebabkan para penunjuk perasaan yang menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad mati.

Kebangkitan penduduk Syria itu bermula pada tahun lalu selepas kejayaan penduduk Tunisia dan Mesir melakukan tunjuk perasaan sehingga kedua-dua presiden di negara tersebut meletakkan jawatan.

Di wilayah Homs, seramai 230 penduduk dilaporkan mati dalam tindakan ketenteraan itu yang bermula pada Jumaat lalu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton juga marah dengan tindakan China dan Rusia yang tidak menyokong resolusi supaya Bashar meletakkan jawatan.

Sementara itu, Majlis Kebangsaan Syria yang menentang kepimpinan Bashar menyatakan, pihaknya mengambil kawalan Kedutaan Syria di Tripoli kelmarin tanpa sebarang tentangan.

Tunisia juga dilaporkan akan mengusir duta Syria dan tidak akan mengiktiraf rejim Bashar selepas keganasan yang berlaku di wilayah Homs. - Agensi


Tiada ulasan: