18 Julai 2012

140 penjaja kesal dengan DBKL

28 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ahmad Fauzi Abd. Karim (kiri) dan setiausahanya, Zamaruddin Ayob (kanan) menunjukkan salinan memorandum yang telah dihantar kepada Perdana Menteri berhubung masalah mereka tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan mereka dengan DBKL di Setapak, Kuala Lumpur. - UTUSAN/AHMAD KARDI

KUALA LUMPUR 16 Julai - Lebih 140 penjaja bazar larut malam Uptown Danau Kota di sini tidak berpuas hati dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengenakan syarat mereka perlu mendapatkan pengesahan penganjur bazar itu untuk memperbaharui lesen berniaga.

Penjaja mendakwa, syarat terbaru itu hanya menyusahkan mereka selain menambahkan lagi kemarahan terhadap penganjur iaitu Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Setapak/Genting Klang.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Uptown Danau Kota, Ahmad Fauzi Abd. Karim berkata, lebih mengecewakan mereka, penganjur mengenakan syarat tambahan iaitu perlu menandatangani surat akujanji sebelum mendapat pengesahan.

"Sudah tujuh tahun kami berniaga di sini, selama ini kami tiada masalah untuk memperbaharui lesen kerana hanya berurusan terus dengan DBKL, tetapi mengapa bermula Julai ini harus melalui penganjur," katanya.

Menurut beliau, masalah itu mungkin timbul apabila keputusan penganjur untuk menaikkan kadar caj perkhidmatan daripada RM150 kepada RM300 dibantah keras oleh peniaga.

"Alasan mereka, syarat menandatangani surat akujanji itu sebagai proses pemutihan. Pemutihan bagaimana yang mereka maksudkan, adakah mahu menghalau kami yang selama ini menentang mereka untuk membela nasib penjaja lain" katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Ahmad Fauzi, penindasan ketara yang dikenakan penganjur terhadap mereka adalah dengan memaksa 333 penjaja menukar dan membeli kanopi baru yang berharga RM650 seunit.

"Walhal, jika mengikut harga pasaran dengan ukuran saiz kanopi yang sama, harganya baru mencecah RM270 seunit. Ini menunjukkan penganjur mahu mengaut untung berlipat kali ganda.

"Menjadi kemusykilan kepada kami adalah segala tindakan penganjur itu seperti dihalal dan disokong oleh DBKL kerana inisiatif kami mengemukakan rayuan kepada pihak tersebut mengenai isu pembaharuan lesen telah ditolak," ujarnya.

Tambah Ahmad Fauzi, antara syarat yang dikenakan dalam surat akujanji itu adalah peniaga perlu bersetuju menjelaskan yuran perkhidmatan bulanan selewat-lewatnya pada tarikh 25 hingga 29 hari bulan.

Ujar beliau, penyewaan tapak penjaja boleh dibatalkan oleh penganjur sekiranya gagal menjelaskan yuran mengikut tarikh yang ditetapkan.

Selain itu, katanya, penjaja perlu mematuhi sebarang terma dan syarat yang akan ditetap dan dipinda oleh penganjur dari semasa ke semasa demi kepentingan bersama.

"Tetapi malangnya segala aduan yang kami salurkan kepada DBKL atau pihak-pihak berkaitan masih tidak mendapat maklum balas dan jalan terakhir kami adalah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jun lalu," ujarnya.

BERITA HARIAN/-

Tiada ulasan: