28 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - “Saya tidak sangka keinginan untuk membawa semua album gambar adik ke Kuala Lumpur, merupakan petanda yang dia akan meninggalkan keluarga buat selamanya,” kata kakak mangsa kemalangan maut, Zemat Che Hat, 32.
Pada kejadian kira-kira jam 8.50 malam kelmarin, mangsa, Mohamad Alias Che Hat,23, maut di tempat kejadian, setelah tersepit di bahagian pemandu apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandunya sendirian, hilang kawalan dan melanggar pokok getah.
“Sudah hampir 12 tahun saya menetap di Kuala Lumpur dan bertugas di sana, namun sebelum ini, saya tidak pernah membawa gambar keluarga bersama, namun pada cuti sekolah bulan Mei lalu, keinginan untuk membawa semua gambar adik ke sana bertambah kuat, jadi ambil semua album miliknya dan bawa pulang.
“Mulanya, saya pun pelik dengan keinginan saya ini, namun selepas adik terlibat dalam kemalangan barulah saya tahu hasrat saya itu, yang ingin selalu berada dekat dengan adik rupanya bertukar menjadi pilu, apabila dia kini meninggalkan keluarga selepas maut dalam kemalangan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang baru sahaja tamat belajar di Kolej Masterskill di bandar ini, dalam jurusan Kesihatan (Healthcare) bakal menghadiri majlis konvokesyen pada bulan Oktober ini.
“Saya juga sedih kerana adik bongsu saya dari enam adik-beradik ini tidak dapat menerima diplomanya dan meneruskan cita-citanya dalam jurusan yang diminati. Dia pernah berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan di KualaLumpur, namun hajatnya tidak kesampaian,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Limah Deraman, 64, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan hanya mengetahui anaknya terlibat dalam kemalangan kir-kira jam 9 malam.
“Ketika itu saya sedang mengajar kanak-kanak mengaji, dan dia (Mohamad Alias) keluar dari rumah kirakira jam 6 petang. “Dia kata hendak keluar makan bersama rakan dan minta RM 10 dengan makcik, makcik pun tak banyak soal terus bagi duit itu dekat tangannya dan dia keluar ke pekan Kok Lanas,” katanya. Limah berkata, selepas dilaporkan mengenai kejadian itu, dia terus ke tempat kejadian namun tidak sampai hati melihat mayat mangsa, secara dekat kerana keadaannya yang tersepit di tempat pemandu.
“Mungkin Allah lebih sayangkan dia, apa pun makcik dokan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian dan menurutnya mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga untuk pengurusan jenazah.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan