28 Syaaban 1433H. [MOD] -
Barat daya Jepun yang dilanda banjir hari ini berdepan ancaman Taufan Khanun di tengah-tengah kebimbangan ia akan memburukkan lagi keadaan di kawasan itu selepas sekurang-kurangnya 32 orang dilaporkan terbunuh atau hilang selepas berlaku hujan lebat berterusan.
Taufan itu kini melanda rangkaian Pulau Amami, selatan Kyushu yang sebelum ini dilanda hujan lebat berterusan selama empat hari hingga mengakibatkan banjir dan kejadian tanah runtuh, sekali gus memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Khanun atau buah nangka dalam bahasa Thailand membawa angin selaju 108 kilometer sejam dan bergerak menuju barat laut pada kelajuan 30 kilometer sejam dan dijangka melanda barat Pulau Kyushu, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Hujan lebat yang melanda di seluruh kawasan itu kini kembali reda, namun agensi cuaca memberi amaran hujan lebat akan berlaku lagi sehingga 15 sentimeter dalam tempoh 24 jam di utara Kyushu.
Di Minamiaso di wilayah Kumamoto, kawasan yang paling teruk terjejas, seramai 700 orang penduduk masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing kerana ancaman tanah runtuh.
''Kami telah memulakan kerja-kerja membaiki jalan raya yang rosak semalam, namun pekerja tidak dapat melakukan kerja secara berterusan ekoran hujan yang turun sekali sekala.
''Walaupun hujan sedikit, tetapi ia boleh menghasilkan runtuhan lumpur dan lebih banyak hujan dijangka pada petang ini. Justeru kita kekal berwaspada,'' kata pegawai tempatan, Hideki Kuraoka.
Katanya, walaupun agensi cuaca menjangkakan kawasan itu tidak akan terkena taufan berkenaan secara langsung, namun ia masih membimbangkan.
''Kita tidak tahu kerosakan yang boleh disebabkan oleh taufan itu, namun kita amat berhati-hati mengenainya,'' katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan