28 Syaaban 1433H. [MOD] -
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI ) akan terus konsisten memperjuangkan pembebasan kesemua tahanan ISA yang masih dikurung di Kem Tahanan Kamunting. Biarpun masih belum ada sebarang perkembangan positif daripada pihak Kerajaan, GMI optimis dengan desakan berterusan daripada rakyat Malaysia semua tahanan akan dibebaskan. Setelah 3 kali protes dilancarkan di hadapan Kemta, Menteri Dalam Negeri masih enggan mengambil peranan serius dalam menjawab tuntutan tahanan ISA yang menuntut untuk dibebaskan segera.
Sifat Kerajaaan Malaysia ini cukup mempamerkan betapa slogan janji ditepati boleh diragui oleh rakyat Malaysia. Sikap bermanis muka di corong-corong media dan dalam masa yang sama berkeras terhadap minoriti kecil yang ditahan tanpa bicara adalah satu penipuan terhadap rakyat. Jika benar kerajaan telus dalam menunaikan janji, maka 45 orang baki tahanan ISA perlu dibebaskan. GMI yakin, sekiranya semua tahanan dibebaskan, lebih banyak cerita di sebalik tembok ISA akan terdedah kepada rakyat. Mungkin inilah kerisauan yang membelengu Kerajaan Malaysia sehingga enggan membebaskan tahanan.
Protes ketiga yang dijalankan pada 15 Julai lepas mempamerkan peningkatan dalam jumlah yang hadir. Ini menunjukkan rakyat sudah semakin terdedah mengenai isu yang sedang berlaku. Untuk meneruskan momentum kesedaran ini, GMI akan melancarkan satu lagi kempen yang dinamakan sebagai Kad Ucapan Untuk Tahanan ISA yang akan bermula pada 19 Julai ini dan tamat pada 25 Ogos 2012.
Kempen yang dijalankan bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini akan memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan kepada tahanan melalui kiriman kad ucapan. Rakyat Malaysia boleh mengirimkan kad ucapan kepada pihak GMI dan semua kad yang diterima akan dihantar terus ke Kemta. Kempen ini juga bertindak sebagai referendum yang bakal menunjukkan solidariti rakyat dalam menuntut keadilan ke atas semua tahanan ISA. Pihak GMI juga akan mengeluarkan Kad Ucapan yang akan diedarkan di program-program anjuran GMI dan juga program jemputan. GMI mensasarkan untuk mengumpul sebanyak 50,000 kad yang akan diserahkan terus kepada pihak Kemta.
Kempen ini akan dilancarkan pada 19 Julai 2012 bersempena dengan penganjuran forum ISA: Penyeksaan Yang Sempurna yang akan diadakan di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Forum akan bermula pada jam 8.30 malam dan akan membicarakan mengenai trauma rakyat akibat akta zalim ISA dan isu penyeksaan terkini yang masih berlaku terhadap tahanan. Antara panelis yang bakal membincangkan topik ini ialah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Blogger Tukar Tiub Hishamuddin Rais, Isteri bekas tahanan, Norlaila Othman dan Blogger, Wan Ji Wan Hussin. Forum itu juga bakal menampilkan keluarga tahananan ISA yang akan memberikan perkongsian khas kepada hadirin yang hadir.
GMI mengharapkan dengan kempen yang berterusan akan terus memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia khususnya Menteri Dalam Negeri agar segera membebaskan tahanan. Segala isu yang berlaku akan selesai sekiranya kerajaan Malaysia bersikap terbuka dan bersedia untuk menunaikan tuntutan rakyat. GMI tidak menolak kemungkinan gelombang rakyat akan kembali berlaku seperti gelombang pertama pada 1 Ogos 2009 sewaktu rakyat berhimpun menuntut pemansuhan ISA. Namun segalanya bergantung kepada kesediaan pihak kerajaan untuk membuka jalan penyelesaian yang tuntas bersesuaian dengan tuntutan rakyat.
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi GMI
Syukri Razab
Penyelaras SUARAM
Sekretariat GMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan