27 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan satu siri 'Fllashmob' di ibu negara berhubung isu ISA yang tidak lagi selesai sehingga hari ini walaupun PM telah mengumumkan pemansuhan akta yang lebih bersifat 'zalim' itu sejak September tahun lalu lagi.
Pengerusinya, Safwan Anang (gambar) berkata, mahasiswa tetap dengan pendirian bahawa selagi Kem Tahanan Kamunting masih dibuka selagi itu kerajaan hanya retorik dengan janji manis.
Tegasnya, SMM berpendirian bahawa rakyat harus terus bangkit menolak penggunaan akta 'menahan orang tanpa bicara' ini. Ini adalah disebabkan kerajaan sehingga sekarang hanya mampu bermain dengan janji-janji manis dengan kononnya ingin menghapuskan undang-undang yang bersifat kuno walaupun dengan menggantikannya pula dengan undang-undang yang lebih ketat antaranya seperti akta himpunan aman.
“Mahasiswa merasakan perkara ini harus diceritakan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang apakah perkara sebenar yang sedang berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rakyat perlu tahu bahawa sehingga sekarang masih ada lagi dari kalangan rakyat Malaysia sendiri yang ditahan di bawah ISA.
SMM juga, ujarnya berpendirian tegas dalam isu pemansuhan ISA terutama apabila respons menteri yang bertanggungjawab penuh dalam mempertahan akta zalim ini hanyalah dilihat sebagai sindiran kepada tahanan dan mereka yang turut membantah akta ISA.
“Menteri seperti ini lebih baik meletakkan jawatan daripada terus menzalimi rakyat sendiri,” katanya.
Justeru, tambah beliau SMM menyeru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia yang cakna dengan isu itu untuk sama-sama turun ke Flashmob Mahasiswa Bebaskan 45 Tahanan ISA esok, 17 Julai jam 12 tengah hari di Kuala Lumpur Sentral.
“Kami juga menjemput seluruh rakan-rakan media untuk turut bersama esok. Kita sampaikan mesej penting ini kepada seluruh rakyat Malaysia!” katanya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan